KOTA BARU: Tujuh projek besar yang diumum Perdana
Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika lawatan ke Kelantan pada Ahad
adalah bukti jelas kerajaan pusat tidak pernah meminggirkan Kelantan.
Pengerusi Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata janji itu
yang bakal dimasukkan dalam manifesto Barisan Nasional (BN) pada pilihan
raya umum (PRU) ke-13, menunjukkan Perdana Menteri prihatin akan nasib
penduduk Kelantan yang masih ketinggalan pada pelbagai aspek
pembangunan.
"Ini juga jawapan tepat kepada tohmahan dan juga tuduhan-tuduhan yang
kata kita diskriminasikan Kelantan. Ini terbukti bahawa apa yang
difitnahkan pembangkang itu tidak benar," katanya kepada Bernama, di
sini malam Ahad.
Beliau ditemui selepas melawat jurugambar Bernama, Zahari Abdul
Razak, yang dimasukkan ke Hospital Pakar Perdana, apabila mengadu sakit
pada bahagian perut dan pinggang selepas selesai membuat liputan lawatan
kerja sehari Najib, Ahad.
Turut hadir Ketua Biro Bernama Kelantan, Mohd Bakri Darus dan
Timbalan Presiden Kelab Media Kelantan (Kemudi), Harris Hazri Abdul
Halim.
Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri,
berkata kesemua perkara yang dijanjikan Perdana Menteri itu adalah suatu
yang sangat dinantikan masyarakat Kelantan selama ini.
Tujuh projek tersebut merangkumi pembinaan lebuh raya Kuala Krai-Kota
Baharu, pembinaan stadium baharu, masjid terbesar dan perumahan rakyat
dengan peringkat permulaan melibatkan 3,000 unit.
Projek lain ialah mewujudkan sistem pengangkutan Rapid Kota Baharu,
pembinaan kampus bandar Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang boleh
memuatkan 5,000 pelajar dan projek menyelesaikan masalah air. - BERNAMA
projek mega utk negeri diperintah pembangkang,tak ada ke projek mega untuk negeri yg rakyatnya memilih BN tanda terima kaseh?
BalasPadamBukan ke setiap negeri yg rakyatnya memilih BN sudah ada projek mega masing2
Padamnegeri yang rakyatnye pilih BN dh lame rase projek mega..dah xheran..
Padam