Fitnah Perdana Menteri, Blogger Diarah Minta Maaf


Singapura: Seorang blogger Singapura meminta maaf dan sedia menarik balik sebahagian artikel dalam blognya selepas menerima surat tuntutan Perdana Menteri, Lee Hsien Loong.

Peguam Lee dari Drew and Napier dilaporkan menghantar surat itu kepada penulis blog, Alex Au, berikutan dakwaan kiriman berbentuk fitnah dalam blognya, Yawning Bread.
 
Artikel itu bertajuk PAP mis-AIMed, faces blowback merujuk kepada jualan sistem komputer yang digunakan beberapa majlis perbandaran kepada firma Action Information Management (AIM).

Surat perunding kanan Drew and Napier, Davinder Singh menyifatkan blog terbabit menyiarkan kiriman membayangkan kesalahan serius mengenai jenayah pecah amanah.

Ia juga mendakwa rasuah berlaku dengan menuding jari kepada Biro Siasatan Amalan Rasuah serta Jabatan Peguam Negara sebagai terbabit.

Kiriman terbabit disusuli komen bernada fitnah pembaca, ada dalam kalangan mereka merujuk kepada Lee, kata surat terbabit menyenaraikan 21 komen dalam kategori itu.

Komen itu apabila dibaca bersama kiriman asal atau dengan sendirinya, difahamkan menunjukkan Lee bersalah melakukan rasuah membabitkan transaksi AIM dan menyalah guna kuasa untuk menutup perkara itu atau menghalang siasatan terhadap rasuah dilakukannya.

Tuduhan ini palsu dan tidak berasas, kata surat itu lagi. Oleh itu, Lee memberi peluang kepada Au untuk memohon maaf dan menarik balik tuduhan terbabit tanpa menuntut sebarang ganti rugi dan kos lain.

Dalam satu kenyataan, Au menerima pandangan bahawa sebahagian artikel dan komen pembaca adalah fitnah dan akan menarik balik sebahagiannya termasuk oleh pembaca seperti diminta selain menyiarkan permohonan maaf kepada Lee.

Ini kali kedua dalam tempoh enam bulan Au diminta memohon maaf berhubung artikel dalam blognya.

Pada Julai tahun lalu, dia meminta maaf memberi komen kes denda kesalahan trafik terhadap Pakar Bedah Plastik, Woffles Wu, selepas pejabat Peguam Negara mengutus surat memaklumkannya bahawa pandangannya menghina keputusan mahkamah kerana menuduh hakim berlembut kepada golongan atasan.

AGENSI-Berita Harian
Share on Google Plus

About Unknown

0 comments:

Catat Ulasan

Pihak JERING DAILY tidak akan bertanggungjawab terhadap setiap pandangan atau komen yang diutarakan melalui laman portal ini. Ia adalah pandangan peribadi masing-masing dan tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian kami selaku pengendali portal.

Sila guna bahasa dan perkataan yang sopan ketika menulis komen atau meluahkan pendapat kerana setiap komentar yang diutarakan itu mencerminkan keperibadian diri anda sendiri. Terima kasih.