MH370: Data Analisis Simulator Milik Kapten Zaharie Akan Diketahui Tidak Lama lagi

mh370-data-simulator

KUALA LUMPUR - Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat menjangka dapat melengkapkan analisis data daripada simulator penerbangan milik juruterbang pesawat Malaysia Airlines yang hilang sejak 8 Mac lepas dalam masa sehari dua lagi, lapor agensi berita AFP.
 
Agensi berita Perancis itu memetik Pengarah FBI James B. Comey sebagai berkata bahawa pakar sedang bekerja 24 jam sehari untuk melengkapkan analisis mereka berdasarkan data yang diperoleh daripada simulator penerbangan milik Kapten Zaharie Ahmad Shah, juruterbang penerbangan MH370 tersebut.
 
Data itu diambil dari kediaman Zaharie di Shah Alam oleh sepasukan polis dari Bukit Aman pada 15 Mac lepas.
 
"Malaysia meminta bantuan kami dari segi keupayaan teknikal berhubung bahan forensik komputer tertentu yang diberi kepada kami. Usaha itu sedang berjalan. 
 
"Saya tidak mahu mendedahkan lebih lanjut dalam situasi terbuka seperti ini tetapi saya jangka usaha itu akan siap dalam masa terdekat, dalam sehari dua lagi," kata Comey dalam mesyuarat subjawatankuasa Dewan Perwakilan di Washington, bagi membincangkan permohonan bajet FBI untuk 2015.

Comey juga tidak menyatakan sama ada hasil analisis akan didedahkan kepada umum. 
 
Pada 19 Mac, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dilapor berkata data di dalam simulator milik Zaharie merupakan log data daripada tiga jenis permainan penerbangan yang didapati telah dipadamkan pada 3 Feb.
 
Tiga permainan berkenaan ialah 'flight simulator X', 'flight simulator 9' dan 'X flight 10'.
 
MH370 yang membawa 227 penumpang serta 12 kru dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing, hilang daripada imbasan radar kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 12.41 tengah malam 8 Mac.
 
Pesawat itu dijadualkan mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama.

Pada peringkat awal, operasi pencarian pesawat Malaysia Airlines itu yang membabitkan pelbagai negara dilancar di Laut China Selatan sebelum diperluas ke kawasan daratan dan laut di barat Semenanjung Malaysia termasuk Lautan Hindi, selepas penemuan menunjukkan pesawat mengubah haluan jauh daripada laluan asal.
 
Berdasarkan kaedah analisis yang tidak pernah dilakukan sebelum ini menggunakan data satelit Inmarsat dan siasatan Cawangan Siasatan Kemalangan Udara United Kingdom (AAIB), pesawat itu dirumuskan terbang di sepanjang koridor selatan dan kedudukan terakhirnya di tengah-tengah Lautan Hindi, barat Perth.
 
Bersandarkan maklumat itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Isnin malam mengumumkan penerbangan MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi.
 
Semalam, Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata cerapan baharu satelit menunjukkan 122 objek yang berpotensi ada kaitan dengan MH370, di kedudukan 2,557 kilometer barat Perth. - Bernama
Share on Google Plus

About Jering Daily

0 comments:

Catat Ulasan

Pihak JERING DAILY tidak akan bertanggungjawab terhadap setiap pandangan atau komen yang diutarakan melalui laman portal ini. Ia adalah pandangan peribadi masing-masing dan tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian kami selaku pengendali portal.

Sila guna bahasa dan perkataan yang sopan ketika menulis komen atau meluahkan pendapat kerana setiap komentar yang diutarakan itu mencerminkan keperibadian diri anda sendiri. Terima kasih.