Perjanjian Sulit Anwar-Khalid, Siapa Bakal Tersepit?

Anwar Azmin Khalid

PRK DUN Kajang merupakan antara cubaan untuk menangani krisis kepimpinan di Selangor. PKR sedang berhadapan dengan masalah paling besar selepas berjaya mengenepikan PAS dalam perebutan jawatan Menteri Besar Selangor. Perselisihan antara Azmin Ali dengan Khalid Ibrahim sudah sampai ke puncak. DAP dan PAS yang selama ini hanya jadi pemerhati, turut mulai resah dan cuba campurtangan.

Bagaimanapun, tindakan DAP dan PAS nampaknya tidak menjadikan keadaan bertambah baik, bahkan semakin pincang terutama apabila PAS sendiri berbelah bahagi sama ada untuk menyokong Khalid Ibrahim atau Azmin Ali. PAS Pusat pula melihat sebarang perkembangan di Selangor turut melibatkan kem Erdogan dan Ulama juga sedang berebut dalam parti berkenaan.

Kerana itulah, PAS kelihatan seperti sebuah parti yang tiada haluan dalam isu PRK DUN Kajang. Sebahagian besar melahirkan penentangan terhadap cubaan Anwar Ibrahim menjadi Menteri Besar Selangor. Alasan mereka, PRK DUN Kajang, tidak seharusnya berlaku memandangkan ia telah menyanggahi apa yang mereka perjuangkan sebelum ini iaitu pembaziran. Lebih daripada itu, PKR dan Anwar Ibrahim langsung tidak bertanya, bermesyuarat atau mendapatkan pendapat daripada PAS yang menguasai 15 kerusi DUN berbanding PKR yang hanya 14 kerusi DUN.

Perletakan jawatan oleh Lee Chin Cheh berlaku dalam tempoh yang amat singkat iaitu sejam selepas pertemuan dengan Anwar Ibrahim.

PRK DUN Kajang tidak ada kena-mengena dengan 'KAJANG MOVE' atau menyelamatkan Najib daripada digulingkan oleh Tun Dr. Mahathir. PRK DUN Kajang sengaja dicipta oleh Anwar Ibrahim untuk menyelamatkan Azmin Ali yang semakin pudar kerjaya politiknya di Selangor. Khalid Ibrahim yang disangkakan bebal dan hanya mengikut sahaja apa yang diperintahkan oleh Anwar, telah bertindak mengikut kuasa yang ada padanya. Azmin Ali kehilangan satu demi satu peluangnya dalam Kerajaan Negeri Selangor dan Anwar perlu membetulkan keadaan tersebut.

Khalid Ibrahim tidak akan menyerah dengan mudah. Faekah Hussin yang merupakan bekas SETPOLnya sudah pun memainkan peranannya walaupun telah diserang bertali-arus oleh konco-konco Azmin Ali. Abdullah Sani yang merupakan penjilat Azmin Ali selain Zuraidah Kamaruddin, turut campurtangan dan menjadikan Khalid Ibrahim sebagai bahan sesahan.

Seperti yang diketahui, Khalid Ibrahim yang mendapat perkenan DYMM Sultan Selangor untuk menghabiskan penggal pentadbirannya buat kali kedua, mendapat kekuatan daripada sokongan DAP dan pemimpin-pemimpin Cina PKR seperti Elizabeth Wong.

Anwar cuba menggunakan kepintarannya memperdaya dan berhelah. Dia mahu mengenakan Khalid Ibrahim dengan melantik Khalid Ibrahim sebagai Pengarah Pilihanraya DUN Kajang. Dengan kata lain, sebagai Pengarah Pilihanraya, Khalid perlu mengeluarkan wang untuk perbelanjaan kempen pilihanraya PKR. Dengan kata lain, Anwar Ibrahim sedang mencari-cari kesalahan Khalid Ibrahim dan dia akan menggunakan kesilapan dan kelemahan itu untuk memaksa Khalid Ibrahim melepaskan jawatan sebagai Menteri Besar Selangor.

Namun, ada perjanjian sulit antara Khalid Ibrahim dan Anwar Ibrahim. Khalid Ibrahim sudah pun menyatakan persetujuannya untuk melepaskan jawatan Menteri Besar Selangor seandainya Azmin Ali juga bersetuju untuk melepaskan semua jawatannya termasuklah sebagai Ahli Parlimen Gombak dan ADUN Bukit Antarabangsa selain jawatannya dalam PKR.

Sudah tentulah Azmin Ali tidak akan berbuat begitu. Walaupun Undang-Undang Tubuh dan DYMM Sultan Selangor merupakan halangan besar yang perlu diatasi sekiranya Khalid Ibrahim melepaskan jawatan, Azmin Ali mengharapkan Anwar Ibrahim boleh membawa satu gelombang besar untuk membolehkan dia menjawat jawatan yang sangat diidam-idamkannya.

Perjanjian sulit itu masih berjalan. Anwar sedang melakukan segala-galanya terutama sekali untuk mendapatkan sokongan padu daripada pengundi-pengundi Melayu dan Cina. Perkembangan terkini menunjukkan Anwar Ibrahim dan PKR terpaksa bekerja lebih keras berbanding 2008 dan 2013. Ada peralihan sokongan yang diperihatkan oleh masyarakat pengundi di Kajang.

Apatah lagi dengan perjanjian sulit Anwar-Khalid, pasti akan menyulitkan lagi misi kali ini. Malah ramai penyokong Anwar Ibrahim mulai menyalahkan Rafizi Ramli kerana mengheret Anwar Ibrahim dalam mempercepatkan kematiannya.

Share on Google Plus

About Unknown

0 comments:

Catat Ulasan

Pihak JERING DAILY tidak akan bertanggungjawab terhadap setiap pandangan atau komen yang diutarakan melalui laman portal ini. Ia adalah pandangan peribadi masing-masing dan tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian kami selaku pengendali portal.

Sila guna bahasa dan perkataan yang sopan ketika menulis komen atau meluahkan pendapat kerana setiap komentar yang diutarakan itu mencerminkan keperibadian diri anda sendiri. Terima kasih.