KOTA BELUD: Jika hampir dua minggu lalu, Parti Keadilan Rakyat
(PKR) Sabah kehilangan dua wakil rakyatnya, kali ini parti itu ditimpa
satu lagi masalah apabila 90 peratus Anggota Jawatankuasa (AJK) PKR
Cabang Kota Belud keluar beramai-ramai meninggalkan parti itu hari ini.
Tindakan itu yang disertai dengan langkah melepaskan semua jawatan
yang disandang dalam cabang itu diketuai Ketua Penerangan cabang
tersebut Soloh Yuna.
"Keputusan ini kami buat kerana kami telah hilang kepercayaan
terhadap kepimpinan PKR yang gagal melaksanakan tanggungjawab membela
dan menyatupadukan rakyat.
"Sejak kebelakangan ini, parti PKR khususnya di Sabah semakin teruk," katanya dalam kenyataan Khamis.
Beliau berkata disebabkan pertelagahan sesama pemimpin PKR di Sabah,
anggota dan kepimpinan PKR Cabang Kota Belud kehilangan arah tujuan.
"(PKR Cabang Kota Belud) tiada ketua, tiada pejabat, tiada mesyuarat
dan tiada maklumat apa-apa untuk ahli mengenai status PKR Cabang Kota
Belud. Kami tidak boleh terus berada dalam parti yang diibaratkan 'hidup
segan mati tak mahu," katanya.
Menurut Soloh, mereka perlu membuat keputusan tepat mengenai hala
tuju perjuangan politik masa depan mereka memandangkan PKR cabang itu
semakin lesu dan tidak bermaya.
Dalam kenyataan itu juga bekas AJK PKR berkenaan turut menzahirkan
sokongan terhadap tindakan Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun)
Kadamaian Jeremy Malajad yang keluar dari PKR baru-baru ini dan
mengisytiharkan menyokong Barisan Nasional.
Jumaat lalu, Adun Matunggong Datuk Jelani Hamdan turut
mengisytiharkan peletakan jawatannya sebagai Naib Pengerusi PKR Sabah
dan menganggap dirinya bukan lagi anggota PKR kerana tidak berpuas hati
dengan barisan kepimpinan PKR negeri Sabah. - BERNAMA
0 comments:
Catat Ulasan
Pihak JERING DAILY tidak akan bertanggungjawab terhadap setiap pandangan atau komen yang diutarakan melalui laman portal ini. Ia adalah pandangan peribadi masing-masing dan tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian kami selaku pengendali portal.
Sila guna bahasa dan perkataan yang sopan ketika menulis komen atau meluahkan pendapat kerana setiap komentar yang diutarakan itu mencerminkan keperibadian diri anda sendiri. Terima kasih.