KUALA LUMPUR: Kerajaan menafikan akan menurunkan
subsidi harga petrol RON95 sebanyak 10 sen yang boleh menyebabkan harga
bahan bakar itu meningkat kepada RM2.20 seliter mulai tengah malam ini.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan berkata, harga petrol bersubsidi tersebut masih kekal RM2.10.
"Saya ingin nafi ada penurunan subsidi RON95 sebanyak 10 sen pada malam ini. Oleh itu RON95 bersubsidi masih rm2.10 seliter.
"Harga sebenar 2.73," katanya di laman twitter miliknya pada Jumaat.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas khabar angin bahawa harga petrol RON95 akan naik kali kedua malam ini.
Sementara itu, pakar ekonomi seorang pakar ekonomi dengan Alliance
Research, Manokaran Mottain turut menjangkakan tiada sebarang kenaikan
harga bahan api dalam tempoh terdekat ini kerana pelarasannya baru
sahaja dibuat.
"Rakyat masih lagi tengah dalam usaha menerimanya (kenaikan harga
bahan api)," kata Manokaran, yang juga Pengarah Majlis Tindakan Ekonomi
Negara (MTEN)kepada Bernama semasa ditanya tentang lebih banyak lagi
pengurangan subsidi dalam tempoh terdekat ini.
Beliau juga berkata Jawatankuasa Dasar Fiskal, yang dipengerusikan
oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, hanya akan bermesyuarat
setiap enam bulan. "Sebarang rasionalisasi subsidi hanya akan
diputuskan apabila ia benar-benar perlu," katanya.
Spekulasi mengenai kenaikan lagi harga bahan api tersebar luas dalam
media sosial sejak beberapa hari lalu yang menyatakan bahawa kerajaan
akan mengurangkan lebih banyak subsidi terutamanya bagi bahan api yang
akan membawa kepada kenaikan harga petrol RON95 dan diesel.
Rakaman skrin laman web Bernama 'seolah-olah' pengumuman tentang kenaikan harga itu disebarkan menerusi media sosial hari ini.
Ia sebenarnya pengumuman rasionalisasi subsidi pada 2 Sept lepas yang
menyaksikan harga petrol RON95 dan diesel dinaikkan sebanyak 20 sen
pada tengah malam Selasa (3 Sept).
Rakaman skrin itu malahan telah mengubah tarikh kepada 'tengah malam Isnin' dan disebarkan kepada orang ramai.
Susulan rasionalisasi baru-baru ini, kerajaan dapat menjimatkan kira-kira RM1.1 bilion tahun ini.
Kerajaan memperuntukkan RM24.8 bilion bagi subsidi bahan api tahun ini.
0 comments:
Catat Ulasan
Pihak JERING DAILY tidak akan bertanggungjawab terhadap setiap pandangan atau komen yang diutarakan melalui laman portal ini. Ia adalah pandangan peribadi masing-masing dan tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian kami selaku pengendali portal.
Sila guna bahasa dan perkataan yang sopan ketika menulis komen atau meluahkan pendapat kerana setiap komentar yang diutarakan itu mencerminkan keperibadian diri anda sendiri. Terima kasih.