KUALA LUMPUR: Produser filem KL Gangster 2 Datuk Yusof
Haslam bertekad untuk mengambil tindakan mahkamah ke atas individu yang
terlibat melakukan cetak rompak dan menyebarkan filem itu di laman muat
naik Internet sebelum ia ditayangkan di pawagam pada 3 Oktober depan.
Yusof berkata, pihaknya sedang mengumpul bukti untuk diserahkan
kepada pihak polis selepas membuat laporan di Balai Polis Taman Melawati
dekat sini pada Rabu lalu.
“Pihak kami sedang mengumpul bukti dan setakat ini sudah ada beberapa
petunjuk tentang dalang tersebut namun kami tidak menuduh secara
melulu, biar pihak berkuasa menjalankan siasatan mereka," katanya kepada
pemberita dalam sidang media berhubung isu itu di Perbadanan Kemajuan
Filem Nasional (Finas) di sini pada Jumaat.
Pada Rabu lalu, Yusof dan anaknya yang juga pengarah filem berkenaan
iaitu Syamsul melahirkan perasaan marah apabila lebih 70 peratus hasil
filem berkenaan telah disebarkan di laman Internet sehingga ia boleh
dimuat naik oleh peminat.
Langkah itu boleh menyebabkan kerugian besar kepada penerbit filem
jika orang ramai tidak menonton kerana ia telah disebarkan lebih awal
secara haram.
Kos pembikinan filem itu menelan belanja kira-kira RM4.5 juta.
Turut hadir pada majlis tersebut, Pengurus Besar Grand Brilliance Sdn
Bhd, Tengku Iesta Putra Tengku Alauddin, Pengerusi Finas, Datuk Affendi
Hamdan dan Ketua Pegawai Eksekutif Pengeluar Filem Malaysia, Pansha.
Dalam pada itu Yusof berkata, pihaknya tidak berhasrat untuk
mendapatkan tarikh tayangan lebih awal gara-gara masalah itu kerana
ingin berlaku adil kepada penerbit filem lain.
"Saya tidak mahu mementingkan diri sendiri dengan mengambil tindakan menayangkan filem ini lebih awal dari tarikh sebenar.
"Saya rasa tidak adil untuk penerbit lain. Walaupun saya cukup risau
kerana terpaksa menunggu sebulan lagi untuk tempoh penayangannya," kata
beliau.
Sementara itu ditanya mengenai filem tersebut yang mengambil masa dua
tahun untuk proses suntingan sehingga menjadi perbalahan di antara dia
dengan anaknya Yusof berkata, ia adalah lumrah bagi mendapat hasil
terbaik dan tiada kaitan dengan insiden berkenaan.
"Sebagai produser yang menjaga kewangan syarikat, sudah tentu saya
mahu ia disiapkan segera namun bagi anak saya pula, dia ingin sesuatu
yang berkualiti untuk penonton sehingga menyebabkan proses akhir filem
itu tertangguh," katanya.
0 comments:
Catat Ulasan
Pihak JERING DAILY tidak akan bertanggungjawab terhadap setiap pandangan atau komen yang diutarakan melalui laman portal ini. Ia adalah pandangan peribadi masing-masing dan tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian kami selaku pengendali portal.
Sila guna bahasa dan perkataan yang sopan ketika menulis komen atau meluahkan pendapat kerana setiap komentar yang diutarakan itu mencerminkan keperibadian diri anda sendiri. Terima kasih.