Agama: Jangan Tersilap Dalam Memilih Pemimpin

legasi-pemimpin-umno

Amanah laksana tugas, kuasai ilmu siasah mempunyai visi perjuang nasib rakyat

Pembentukan sesebuah negara dan menentukan kuasa politik adalah satu tuntutan dalam Islam serta termasuk dalam fardu kifayah kerana ia mempunyai kaitan langsung dengan pelaksanaan agama dan syariah.

Berdasarkan pandangan Ahli Sunnah dan jumhur ulama, pemilihan ketua negara hendaklah dibuat secara pilihan raya dengan memberi kuasa kepada rakyat untuk menentukan kerajaan yang memerintah.

Pemilihan ini ikatan kontrak di antara pemerintah dengan rakyat. Menurut pandangan seorang ulama terkenal Abdul Wahab Khallaf dalam kitabnya al-Siyasah al-Shariyyah, ketua negara dalam pemerintahan sama dengan pemerintahan negara yang berperlembagaan kerana khalifah mendapat kuasa daripada rakyat.

Kedaulatan ini kekal bergantung kepada kepercayaan dan keupayaan dalam pemerintahan untuk menjaga kemaslahatan umat. Justeru sebagai pemerintah yang dipilih dan dilantik oleh rakyat maka hendaklah melaksanakan segala amanah dan tanggungjawab dari rakyat.

Firman Allah SWT: “Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan Rasul-Nya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya).” (Surah al-Anfal, ayat 27)

Sabda Rasulullah SAW: “Ingatlah! Setiap orang daripada kamu adalah pemimpin dan setiap kamu bertanggungjawab terhadap apa yang dipimpinnya.” (Riwayat al-Bukhari)

Pemilihan pemerintah penting untuk merealisasikan kewujudan sebenar umat Islam. Oleh itu, pemerintah mesti diwujudkan dan dilantik untuk memimpin umat Islam kerana ia tanggungjawab terbesar yang diperintahkan Allah SWT kepada hamba-Nya supaya mereka bersatu.

Kedudukan pemerintah

Kedudukan pemerintah dalam kalangan rakyat adalah umpama paksi pada sesuatu binaan. Dialah yang akan merealisasikan perpaduan dan menjaga keutuhan mereka melalui kepimpinannya. Jawatan itu perlu demi kestabilan undang-undang dan keharmonian.

Sebahagian besar pelaksanaan hukum-hakam dalam syariat Islam tertakluk kepada kuasa pemerintah. Hukum-hakam itu tidak mungkin dapat dilaksanakan kecuali melalui kuasa dan arahan pemerintah, seperti menghakimi kes mahkamah, melantik penguasa, memeterai perdamaian dan sebagainya.

Oleh itu, bagi membolehkan hukum-hakam syarak dilaksanakan sepenuhnya dengan cara yang betul dan diterima oleh Allah SWT, mestilah ada pemerintah yang akan melaksanakan hukum-hakam itu dan memantau pelaksanaannya.

Dalam syariat Islam, terdapat satu kategori hukum yang disebut sebagai hukum imamah (pemerintahan) atau hukum siasah syar’iyyah (politik Islam). Hukum dalam kategori ini bersifat fleksibel dan syarak tidak memutuskannya secara terperinci.

Sebaliknya hukum dalam kategori ini diserahkan kepada pendapat dan ijtihad pemerintah berdasarkan kepentingan serta keadaan umat Islam.

Umat Islam sentiasa terdedah kepada kemunculan kumpulan pelampau dalam kalangan mereka yang menimbulkan ketidakstabilan masyarakat Islam. Mereka didorong oleh hawa nafsu atau fahaman sesat yang berselindung di sebalik nama agama dan pemulihan masyarakat.

Syarat tentukan pemimpin

Bagi merealisasikan tanggungjawab rakyat ini maka ulama telah menetapkan beberapa syarat untuk menentukan kelayakan seseorang pemimpin antaranya keupayaan jasmani, kelayakan undang-undang, kelayakan ilmu, adil dan menguasai ilmu siasah, peperangan dan pentadbiran.

Menurut al-Mawardi dalam kitabnya al-Ahkam al-Sultaniyyah, seorang pemimpin itu hendaklah mempunyai pemikiran yang tajam untuk menjaga siasah umat, pentadbiran yang menjamin kemaslahatan, berani, berupaya mempertahankan negara dan berjihad menentang musuh.

Sesungguhnya pemimpin yang baik ialah pemimpin yang sentiasa mengutamakan rakyat, tidak menggadaikan agama kerana kepentingan, berilmu, mempunyai visi dan pandangan jauh untuk membina bangsa dan negara.

Ingatlah bahawa tanggungjawab rakyat ini jika tidak diberikan kepada mereka yang berhak, nescaya masa depan negara akan hancur dan hidup rakyat merana. Justeru kita sebagai rakyat hendaklah memilih pemimpin yang mampu membina masa depan rakyat dan negara.

Sabda Rasulullah: “Apabila amanah itu di sia siakan, maka tunggulah kehancuran. Sahabat bertanya: Bagaimana mensia siakannya. Rasulullah SAW menjawab: Apabila sesuatu jawatan itu di serahkan kepada orang yang bukan ahlinya, maka tunggulah saat kehancuran.” (Riwayat al-Bukhari)
Share on Google Plus

About Unknown

1 comments:

  1. Tidak boleh mengutamakan yg kufur atas yg beriman, kerana yg demikian sifat munafik. Jika dilakukan juga, spt menjadikan asbab bg Allah swt menghukum dan mengazabkannya.

    BalasPadam

Pihak JERING DAILY tidak akan bertanggungjawab terhadap setiap pandangan atau komen yang diutarakan melalui laman portal ini. Ia adalah pandangan peribadi masing-masing dan tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian kami selaku pengendali portal.

Sila guna bahasa dan perkataan yang sopan ketika menulis komen atau meluahkan pendapat kerana setiap komentar yang diutarakan itu mencerminkan keperibadian diri anda sendiri. Terima kasih.