JOHOR BAHARU: Dua artis terkenal, Bandi Amuk dan Ayai Ilusi,
menawarkan diri secara sukarela untuk menjadi duta kempen pilihan raya
umum ke-13 (PRU 13) Barisan Nasional (BN) Parlimen Johor Baharu.
Bandi Amuk atau nama sebenarnya, Nasabandi Jumaat dan Ayai Ilusi atau
nama sebenarnya, Zaharuddin Kamaruddin, akan terlibat dalam aktiviti
penerangan khususnya terhadap golongan muda di Parlimen Johor Baharu.
"Penyertaan Bandi Amuk dan Ayai Ilusi merupakan sebahagian daripada
usaha kita untuk mendekati anak muda dan menarik sokongan mereka pada
pilihan raya umum kali ini," kata penyandang kerusi Parlimen Johor
Baharu Tan Sri Shahrir Abdul Samad pada sidang media di pejabat Umno
Bahagian Johor Baharu pada Ahad.
Beliau yang juga Pengarah Jentera Pilihan Raya BN Johor Baharu
berkata, pendekatan BN menggunakan selebriti dalam kempen adalah
berlainan dengan pembangkang yang mengetengahkan artis sebagai calon
parti mereka.
Shahrir merujuk kepada keputusan Pas mencalonkan penyanyi Wan Aishah
Wan Ariffin di Parlimen Jempol pada pilihan raya umum ini, serta khabar
angin bekas penyanyi, Dayangku Intan sebagai calon Parti Keadilan Rakyat
(PKR) di Pontian.
Menurutnya, bekas artis yang diketengahkan oleh pembangkang sebagai
calon di dalam PRU 13, tidak mempunyai sebarang pengalaman berkhidmat
kepada rakyat.
Sementara itu, Bandi Amuk berkata keputusan untuk menawarkan
khidmatnya adalah disebabkan kesedaran untuk membalas segala jasa BN
dengan memastikan parti pemerintah itu menang besar pada PRU 13.
"Saya mempunyai keluarga dan anak-anak saya telah mendapat segala
bantuan dan pertolongan daripada BN. Ini adalah masa untuk saya membalas
segala jasa kerajaan BN. Janganlah kita menggadaikan masa depan kita,"
katanya.
Penyanyi Ayai Ilusi pula berkata, tindakannya untuk terlibat dalam
kempen pilihan raya BN itu merupakan reaksi semula jadi memandangkan
beliau merupakan penyokong kuat parti itu sejak dahulu lagi.
"Saya telah terlibat dengan kempen BN 'sejak azali' lagi, daripada
bekerja memasang poster-poster BN kepada menyertai kempen-kempen bersama
Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika beliau menjadi Menteri Besar Johor,"
katanya.
Pegawai Pilihan Raya BN Parlimen Johor Baharu Abu Talib Alias pula
berkata, Bandi dan Ayai akan terlibat dalam lapan program penerangan di
seluruh kawasan Parlimen Johor Baharu sepanjang kempen PRU 13 ini.-BERNAMA
0 comments:
Catat Ulasan
Pihak JERING DAILY tidak akan bertanggungjawab terhadap setiap pandangan atau komen yang diutarakan melalui laman portal ini. Ia adalah pandangan peribadi masing-masing dan tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian kami selaku pengendali portal.
Sila guna bahasa dan perkataan yang sopan ketika menulis komen atau meluahkan pendapat kerana setiap komentar yang diutarakan itu mencerminkan keperibadian diri anda sendiri. Terima kasih.