Bekas Mufti Perlis Tak Yakin Pas Mampu Laksana Hudud

ustaz-asri-pas-hudud

Pas tidak mungkin dapat melaksanakan hukum hudud di negara ini kerana bakal ditentang hebat DAP selain gagal memenuhi beberapa syarat yang ditetapkan dalam konteks pentadbiran negara ini.

Sehubungan itu, bekas Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin (gambar dia atas) menggesa Pas berhenti menjadikan pelaksanaan hukum hudud tersebut sebagai isu politik.

Malah, beliau turut membidas Pas supaya lebih menumpukan kepada perkara yang boleh dilakukan mereka untuk negara berbanding berdebat berkenaan isu berkenaan.

"Kalau Pas menang semua kerusi pun dalam pilihan raya kali ini, Pas tidak boleh laksana hukum hudud Pas kerana mereka akhirnya akan berbalah sesama sendiri.

"Itu sebabnya isu hudud Pas tidak ada makna kalau dibahas sekalipun, hanya jadi mainan dalam pilihan raya," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menerima kunjungan calon Barisan Nasional (BN) kerusi Parlimen Permatang Pauh, Dr. Mazlan Ismail di rumahnya di Kampung Mengkuang di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi DAP, Karpal Singh semalam yang tetap dengan pendirian menentang pelaksanaan hukum hudud Pas di negara ini sekiranya pembangkang menguasai Putrajaya.

Kenyataan Karpal itu sebagai membantah Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr. Harun Din kelmarin yang bertegas mahu melaksanakan hudud Pas kerana menyifatkannya sebagai asas dalam perundangan Islam.

Walau bagaimanapun, tidak sampai 24 jam selepas Karpal membuat penegasan itu, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang membuat kenyataan mempertahan Harun dengan menegaskan, Pas tetap akan melaksanakan undang-undang hududnya kerana yakin Perdana Menteri pembangkang kelak seorang Islam.

Ditanya mengenai janji dalam pilihan raya, Mohd. Asri berkata, dari sudut Islam pihak yang tidak menunaikannya termasuk janji dalam pilihan raya umum disifatkan sebagai munafik.

Dalam masa sama, beliau menasihatkan pengundi melihat calon berkualiti dan bukan melihat kepada parti semata-mata termasuk dalam persaingan di kerusi Parlimen Permatang Pauh.

"Kalau calon tidak berkualiti, letak lambang apa pun tak jadi kerana dia tak boleh cakap di Parlimen dan tidak boleh bagi pandangan bernas.

"Oleh itu, bila calon ada kualiti latar belakang yang bagus, kita bagi keutamaan. Sebab itu penting untuk pengundi benar-benar mengenali calon yang boleh bekerja untuk rakyat," katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohd. Asri berkata, beliau akan menganjurkan forum bertajuk Permatang Pauh dengan Dr. Mazlan dan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ahli panel manakala beliau sendiri bertindak sebagai moderator.

"Saya mahu rakyat mendengar pandangan kedua-dua pihak mengenai Permatang Pauh.

"Saya sudah 'tweet' Anwar berkenaan forum ini, tetapi belum dapat persetujuannya dan kalau beliau dapat hadir, baguslah kerana kita mahu tanya visinya untuk Permatang Pauh," katanya.
Share on Google Plus

About Jering Daily

1 comments:

  1. Hudud wajib atas pemerintah Islam, utk pelaksanaannya, perlu ada kuasa pemerintahan / politik, kuasa penguatkuasaan, kuasa menjatuhkan dan melaksanakan hukuman. Agak sukar bila berkongsi kuasa dan tiada kuasa penuh, mungkin Majlis Fatwa perlu bermuzakarah ttg kaedah pelaksanaannya dlm situasi kerajaan yg berkongsi kuasa, yg tidak berkuasa penuh. WaAllahu'alam.

    BalasPadam

Pihak JERING DAILY tidak akan bertanggungjawab terhadap setiap pandangan atau komen yang diutarakan melalui laman portal ini. Ia adalah pandangan peribadi masing-masing dan tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian kami selaku pengendali portal.

Sila guna bahasa dan perkataan yang sopan ketika menulis komen atau meluahkan pendapat kerana setiap komentar yang diutarakan itu mencerminkan keperibadian diri anda sendiri. Terima kasih.