Agama: Tolak Pemimpin Gadai Agama Demi Siasah

pas-gadai-kalimah-allah-jeringdaily

Nafsu sering mendorong manusia melakukan kejahatan. Justeru, nafsu perlu dibimbing dan ditakluk oleh akal. Individu yang bijaksana menyedari hal ini serta sentiasa berusaha menguasai nafsu dan bermuhasabah diri.
 
Sebaliknya, orang yang lemah hanya membiarkan dirinya menuruti keinginan nafsu. Tanpa sebarang usaha, ia berharap pada sifat Allah yang Maha Pengampun supaya dirinya diampuni dan seterusnya dimasukkannya ke syurga Allah.

Rakyat seharusnya dapat membuat pertimbangan dan penilaian yang bijak serta adil terhadap calon yang akan bertanding dalam tempoh dua minggu ini”

Nabi SAW bersabda: “Orang yang bijaksana ialah yang menundukkan nafsunya dan beramal untuk (menyediakan) bekalan selepas kematian dan orang lemah ialah yang membiarkan diri menuruti (kehendak) nafsunya dan berangan-angan terhadap Allah (mengharapkan rahmat-Nya).” (Ahmad)

Penanda aras digariskan Nabi SAW ini sangat berguna untuk kita bermuhasabah dan menilai kedudukan kita. Malah, tidak kurang pentingnya dalam suasana semasa yang melingkungi kita, ia dapat dijadikan panduan dalam membuat penilaian serta pemilihan.

Oleh itu, apabila kekuasaan menjadi rebutan kerana digambarkan dengan indah oleh nafsu sebagai kelebihan, kenikmatan dan keistimewaan, tidak hairanlah jika ramai yang kecewa dan bermuram kerana nama tidak terpilih sebagai calon untuk bertanding.

Pemimpin atau bakal pemimpin, perlu sedar tanggungjawab utama iaitu menegakkan agama, memelihara syiarnya serta mempertahankan ummah daripada segala bentuk ancaman yang memudaratkan mereka, khususnya dari aspek akidah.

Usah gadai agama

Maka ia tidak sekali-kali membiarkan agama dicabar dan diperkotak-katikkan. Apa lagi menggadai dan mendedahkan agama pada kemudaratan demi kepentingan siasah atau membuka laluan kepada musuh Islam melaksanakan agenda menghakis agama dan memesongkan akidah ummah.

Malah, dirinya sendiri sentiasa berhati-hati supaya tindakan dan perkataan yang dilafazkannya tidak menimbulkan fitnah besar terhadap agama serta ummah seperti menyamaratakan kedudukan agama lain dengan agama Islam.

Dalam mentadbir urusan negara dan rakyat, maslahah dan kebajikan mereka sentiasa diutamakan. Keselesaan dan kesejahteraan hidup mereka didahulukan berbanding diri, keluarga dan saudara-mara.

Kehidupan pemimpin salih terdahulu, khususnya Khulafak al-Rasyidin sentiasa dijadikan rujukan dan panduan. Dengan demikian, ia tidak terdorong untuk menjadikan kekuasaan sebagai peluang dan ruang mengumpulkan kekayaan serta kemewahan.

Pemimpin perlu menunjukkan usaha yang bersungguh-sunggguh untuk memelihara perkataan dan tindakan. Perbezaan pendirian dan pandangan ditangani dengan mematuhi adab yang digariskan syarak. Elakkan budaya memfitnah atau mengaibkan sesama Muslim.

Justeru, rakyat seharusnya dapat membuat pertimbangan dan penilaian yang bijak serta adil terhadap calon yang akan bertanding dalam tempoh dua minggu ini.

Tempoh secukupnya pada penggal lalu adalah bukti untuk mempamerkan pencapaian mereka dalam segenap sudut. Masanya telah tiba untuk kesungguhan, pencapaian dan usaha mereka dinilai serta ditentukan sama ada untuk terus diberikan kepercayaan serta amanah oleh rakyat atau sebaliknya.

Bagi rakyat, di tangan mereka terletaknya penentuan. Perlu dipastikan pilihan dibuat membawa manfaat terhadap Islam, selain kebajikan, kesejahteraan kehidupan, keharmonian serta kerukunan hidup rakyat pelbagai agama serta kaum terjamin.

Bijak buat pilihan

Pada masa sama, mereka harus mengingatkan diri pilihan yang tidak berasaskan penilaian bijak, sebaliknya semata-mata berdasarkan nafsu, sentimen serta emosi hanya mengundang kemudaratan yang bukan kecil.

Malah, mereka mungkin menanggung kehilangan besar yang tidak mudah atau selama-lamanya tidak berupaya diraih semula. Sebagai Muslim, mereka dididik untuk sentiasa mempertimbang kesan bagi setiap tindakan serta perbuatan. Selanjutnya mohonlah fatwa daripada hati sendiri kerana seperti diingatkan Nabi SAW, kebaikan membuatkan diri dan hati berasa tenang lagi tenteram.
Share on Google Plus

About Unknown

1 comments:

  1. Pendosa besar dicelakakan sekali, tp penjual agama dicelakakan tiga kali. Tunggu sajalah di Akhirat nanti apa makna dan balasannya tiga kali celaka itu.

    BalasPadam

Pihak JERING DAILY tidak akan bertanggungjawab terhadap setiap pandangan atau komen yang diutarakan melalui laman portal ini. Ia adalah pandangan peribadi masing-masing dan tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian kami selaku pengendali portal.

Sila guna bahasa dan perkataan yang sopan ketika menulis komen atau meluahkan pendapat kerana setiap komentar yang diutarakan itu mencerminkan keperibadian diri anda sendiri. Terima kasih.