AUSTRALIA mencipta sejarah tersendiri apabila
merangkul kejuaraan kali ketujuh Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah
ke-22 selepas mengatasi Malaysia 3-2 pada perlawanan akhir di sini,
malam tadi.
Pemain Australia Trent Mitton meleburkan impian pasukan negara serta
ribuan penyokong tempatan untuk melihat tuan rumah merangkul kejuaraan
buat pertama kali apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-70.
Australia, yang menduduki ranking kedua dunia, menjuarainya kejohanan
tersebut pada edisi pertama 1983, 1998, 2004, 2005, 2007 dan 2011.
Pemangku Raja Perak, Raja Dr Nazrin Shah turut berangkat bersama-sama
Raja Puan Besar Perak Tuanku Zara Salim untuk menyaksikan perlawanan
akhir di samping menyampaikan trofi kepada pasukan Australia yang
diketuai oleh Robert Hammond.
Lebih 12,000 penyokong yang memenuhi setiap ruang Stadium Hoki Azlan
Shah bersatu melaungkan sokongan di samping paluan gendang pembakar
semangat untuk pasukan negara ternyata tidak pulang kecewa selepas anak
buah Paul Revington dilihat telah mempamerkan permainan bertenaga dan
cemerlang.
Malaysia memulakan perlawanan dengan penuh strategi apabila melancarkan
serangan bertali arus untuk memburu gol pencetus semangat dan ternyata
usaha itu berbaloi apabila Faisal Saari menjaringkan gol pembukaan
seawal minit keempat.
Bagaimanapun, Australia, tidak gusar dengan gol awal itu malah mula
membaca semua rentak serangan sebelum melancarkan gerakan kemas sehingga
berjaya menyamakan kedudukan menerusi Nicholas Budgeon pada minit
ke-29.
Seminit kemudian, Craig Boyne meletakkan Australia di hadapan apabila menewaskan ketangkasan penjaga gol negara S. Kumar.
Dalam babak kedua, Malaysia turun dengan penuh semangat dan mendapat
peluang menyamakan kedudukan namun Muhammad Razie Abdul Rahim gagal
menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-38.
Bagaimanapun seluruh penyokong di setiap sudut stadium bergema semula
apabila peluang gol penyamaan menjadi kenyataan pada minit ke-49 apabila
Tengku Ahmad Tajuddin Abdul Jalil melakukan jaringan padang hasil
hantaran Muhammad Marhan Mohd Jalil.
Selepas terikat dengan jaringan 2-2, strategi kedua-dua pasukan dilihat
berbeza untuk mencari gol kemenangan, bagaimanapun pada minit-minit
terakhir perlawanan, gol padang Mitton mengesahkan Australia, yang dibimbing Ric Charlesworth, sebagai juara.
Sdebelum itu, pada perlawanan menentukan tempat, Korea Selatan
mengalahkan juara bertahan New Zealand 2-1 untuk menduduki tangga ketiga
manakala India mengatasi musuh tradisi Pakistan 4-2 untuk tempat
kelima. - Bernama
0 comments:
Catat Ulasan
Pihak JERING DAILY tidak akan bertanggungjawab terhadap setiap pandangan atau komen yang diutarakan melalui laman portal ini. Ia adalah pandangan peribadi masing-masing dan tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian kami selaku pengendali portal.
Sila guna bahasa dan perkataan yang sopan ketika menulis komen atau meluahkan pendapat kerana setiap komentar yang diutarakan itu mencerminkan keperibadian diri anda sendiri. Terima kasih.