Bekas Mufti Tegaskan, Pencerobohan Militan Bukan Atas Kepentingan Islam

nooh-gadut-bekas-mufti-johor
LAHAD DATU: Tindakan pengganas militan dari selatan Filipina menceroboh Sabah hanya mengikut nafsu dan berkepentingan peribadi, bukannya atas kepentingan agama Islam.

Bekas Mufti Negeri Johor yang juga Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor Datuk Nooh Gadot berkata tindakan mereka itu tidak membawa sebarang makna dan tersasar daripada landasan Islam.

"Mereka berjuang ikut hawa nafsu, taksub, ikut syaitan, ada kepentingan peribadi dan bukan kepentingan agama serta menyelamatkan negara," katanya kepada Bernama di Dewan Cenderawasih Felda Sahabat pada Khamis.

Beliau mengetuai rombongan Majlis Penyelaras Gabungan Persatuan Bukan Kerajaan Melayu Johor bagi menghantar sumbangan kepada penduduk kampung yang ditempatkan di dewan itu serta mereka yang tinggal di tiga lagi dewan iaitu Fajar Harapan, Embara Budi dan Gemala Pura.

Pengganas militan itu melakukan pencerobohan di Kampung Tanduo pada 12 Feb kononnya berjuang untuk mendapat hak mereka di Sabah.

Nooh berkata perjuangan kumpulan pengganas itu jauh sekali untuk agama dan negara mereka, malah bertindak tanpa perikemanusiaan selain menggugat keamanan umat Islam lain di negara ini, terutama di kawasan Lahad Datu.

"Dalam peperangan Islam, kalau membunuh seseorang musuh diharamkan mayat mereka diapa-apakan sebagai menghormati mayat musuh," kata Nooh, yang juga Anggota Majlis Diraja Johor.

Beliau menyifatkan tindakan pencerobohan oleh pengganas militan itu tidak mengikut lunas kemanusiaan, tuntutan dan budaya Islam serta undang-undang antarabangsa. "Keputusan dan tindakan kerajaan memerangi pengganas militan ini untuk melindungi nyawa umat Islam di negara ini adalah sesuai dan wajib dilakukan atas tuntutan Islam. Ia bagi memastikan keamanan dan kedaulatan negara terus dijaga," katanya.

Mengulas misi kemanusiaan itu, Nooh yang menjadi penasihat majlis gabungan membabitkan 360 persatuan bukan kerajaan Melayu Johor, berkata ia dibuat atas keprihatinan rakyat negeri itu terhadap mereka yang terjejas akibat tindakan pengganas militan dan anggota pasukan keselamatan yang terkorban.

Beliau berkata tabung itu berjaya mengutip sumbangan berjumlah RM140,000 dan mengumpul pakaian terpakai untuk diagih kepada penduduk kampung yang dipindahkan ke pusat pemindahan.

Selain bantuan barangan keperluan dan kewangan kepada penduduk kampung itu, Nooh bersama rombongan melaksanakan pendekatan kerohanian dengan melakukan tazkirah, tahlil serta sembahyang hajat di Dewan Fajar Harapan. -BERNAMA
Share on Google Plus

About Unknown

0 comments:

Catat Ulasan

Pihak JERING DAILY tidak akan bertanggungjawab terhadap setiap pandangan atau komen yang diutarakan melalui laman portal ini. Ia adalah pandangan peribadi masing-masing dan tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian kami selaku pengendali portal.

Sila guna bahasa dan perkataan yang sopan ketika menulis komen atau meluahkan pendapat kerana setiap komentar yang diutarakan itu mencerminkan keperibadian diri anda sendiri. Terima kasih.