Agama : Kekalkan Tali Persaudaraan, Pertahan Nikmat Ukhuwah

tali-persaudaraan-ukhuwah

Berbeza ideologi bukan alasan runtuh persaudaraan sesama Islam

Bersyukur kepada Allah SWT kerana keselamatan negara masih terkawal dan kita dapat menjalankan aktiviti seperti biasa. Namun, kegusaran itu mungkin hilang apabila tiba pilihan raya yang akan diumumkan bila-bila masa saja.
Harapan kita pilihan raya berjalan dengan baik dan sejahtera. Tidak dinafikan ketegangan dan kekeruhan akan berlaku lantaran semua pihak bekerja keras untuk mempertahankan ideologi serta fahaman masing-masing.

Dan Allah menyatukan hati-hati mereka melalui persaudaraan yang baik. Jika dibelanjakan seluruh isi bumi untuk dibayar ganti kepada persaudaraan yang baik, maka ia tiada ternilai harganya” (Surah al-Anfal:63)

Namun, sebagai warga negara yang bijak serta profesional akan komited dengan prinsip keamanan dan setiakawan. Oleh itu, hujah dengan fakta perlu diketengahkan ketika berkempen dengan menolak kekerasan dan permusuhan.

Firman Allah SWT bermaksud: “Bawalah dalil dan hujah masing-masing jika kamu di pihak yang benar.” (Surah al-Anbiya’, ayat 24)

Banyak saranan ditunjukkan Allah SWT supaya kita mengemukakan hujah dan fakta yang sihat dalam berkempen. Justeru, provokasi dan sikap bermusuh amalan yang dilarang Allah SWT.

Sabda Baginda SAW: “Wahai manusia, bertakwalah kepada Allah. Jangan kamu menganiaya dan bermusuh sesama kamu. Setiap penganiayaan antara kamu akan diadili pada hari kiamat.” (Hayatul Qulub)

Ingatlah persaudaraan adalah satu daripada nikmat besar daripada Allah SWT seperti firman-Nya bermaksud: “Dan ingatlah ketika kamu bermusuhan, lalu Allah SWT menjinakkan hati-hati kamu dan wujudlah persaudaraan iaitu nikmat yang besar daripadaNya.” (Surah Ali-Imran, ayat 103)

Nilai persaudaraan

Allah SWT meletakkan persaudaraan dengan harga tidak ternilai. Firman-Nya: “Dan Allah menyatukan hati-hati mereka melalui persaudaraan yang baik. Jika dibelanjakan seluruh isi bumi untuk dibayar sebagai ganti kepada persaudaraan yang baik, maka ia tiada ternilai harganya.” (Surah al-Anfal, ayat 63)

Agak sukar pada situasi ini dipraktikkan apa yang dicadangkan, namun usaha ke arah itu mesti dijalankan bagi menjawab persoalan Allah SWT pada hari kiamat.

Sabda Baginda SAW: “Berhati-hatilah kamu dengan penyakit umat yang datang kepada umat sebelum kamu iaitu hasad dengki dan permusuhan. Kedu-duanya akan merosak dan memusnahkan agama.” (Riwayat Ahmad dan Tirmizi)

Dunia dipenuhi pelbagai manusia berbeza watak bagi menunjukkan kehebatan ciptaan Allah SWT. Namun, mereka dianjurkan untuk memilih jalan terbaik bagi mengelak pergaduhan yang mungkin akan menumpahkan darah. Perlu diingat apabila kedua-dua pihak yang bertembung sehingga menyebabkan kematian, mereka akan ditempatkan ke dalam neraka.

Sebuah kisah yang masyhur ketika bermula peperangan Yarmuk, Abu Jahm Huzaifah pergi untuk mencari sepupunya yang ketika itu berada di bahagian hadapan pertempuran itu. Dia juga membawa sedikit air.

Abu Jahm mendapati sepupunya parah dalam pertempuran yang hebat itu. Apabila beliau cuba menghampirinya untuk memberikan sedikit air, tiba-tiba terdengar rintihan seorang tentera yang luka parah di sudut lain. Sepupunya mengisyaratkan kepada Abu Jahm membawa air itu kepada askar yang merintih tadi. Lalu diapun membawa air dan mendapati dia ialah Hisyam Abilah.

Sebelum sempat Abu Jahm sampai di sisinya, terdengar pula teriakan daripada seorang yang terbaring tidak jauh dari tempat itu. Hisyam juga mengisyaratkan supaya membawa air kepada orang itu.

Abu Jahm berkata: “Akhir sekali sebelum aku dapat menghampirinya dia telah menghembuskan nafasnya. Kemudian aku berkejar kembali ke tempat Hisyam, juga didapati beliau sudah meninggal dunia. Ketika itu juga aku pergi ke tempat sepupuku berada, tetapi dia juga telah mengikut kedua-duanya.”

Jika kisah ini dijadikan iktibar ketika pilihan raya, nescaya pandangan dan suasana menarik dapat dilihat di bumi yang permai ini. Satu lagi sejarah keamanan akan tercipta dan menjadi kebanggaan semua.

Mereka yang bersikap baik, tidak disia-siakan Allah SWT dengan disediakan ganjaran besar.

Mungkin usaha pertama ialah memelihara lidah daripada kata-kata sesat sehingga menyinggung perasaan pihak lain. Maki-hamun dan cacian mesti dielak demi mewujudkan suasana lebih harmoni.

Jaga lidah

Lidah Muslim terhadap saudaranya adalah alat pencetus permusuhan. Rasulullah SAW bersabda: “Seorang Muslim sebenar mereka yang menjaga lidah dan tangannya daripada menyakiti saudaranya dan seorang mukmin adalah seorang yang dapat memberi keamanan terhadap jiwa dan harta benda orang lain.” (Riwayat Nasai’e)

Sebaiknya, mereka yang dicaci atau difitnah mendiamkan diri daripada membalas cacian. Rasulullah SAW bersabda: “Diam itu suatu hukum dan amat sedikit orang yang melakukannya.” (Riwayat Abu Mansurad-Dailani daripada Ibn Umar)

Berbaik sangka, memberi kemaafan tanpa dendam, menjauhi umpatan dan fitnah adalah akhlak seorang mukmin dan ciri ahli syurga.

Islam menolak teori dipopularkan Niccolò Machiavelli dalam bukunya bertajuk ‘The Prince’ dengan menyatakan ‘matlamat menghalalkan cara’. Tujuan Islam menolak teori ini untuk mengelakkan permusuhan dalam masyarakat ketika musim pilihan raya.

Daripada Ibnu Masu’d, Nabi SAW bersabda: “Orang mukmin tidak akan mencela, mengutuk, bukan seorang yang keji dan bukan seorang yang bercakap kotor.”

Nilai baik mesti diterapkan umpama bersabar, berbaik sangka, bantu membantu serta bersaing secara sihat akan menjadikan masyarakat kita dihormati seterusnya mendapat ganjaran daripada Allah SWT.
Share on Google Plus

About Unknown

0 comments:

Catat Ulasan

Pihak JERING DAILY tidak akan bertanggungjawab terhadap setiap pandangan atau komen yang diutarakan melalui laman portal ini. Ia adalah pandangan peribadi masing-masing dan tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian kami selaku pengendali portal.

Sila guna bahasa dan perkataan yang sopan ketika menulis komen atau meluahkan pendapat kerana setiap komentar yang diutarakan itu mencerminkan keperibadian diri anda sendiri. Terima kasih.