Jangan Sokong Ulama Yang Mencari Kepentingan Singkat Dengan Jalan Politik

hasan-ali1-jan16KUALA LUMPUR: Bekas Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hasan Ali pada Selasa mengingatkan umat Islam tidak menyokong ulama popular yang menceburi dunia politik semata-mata untuk meraih keuntungan terdekat.

"Begitu juga sekiranya kehadiran mereka hanya untuk dijadikan alat oleh sesetengah pimpinan parti politik untuk mengaburi mata rakyat dengan tujuan membersihkan imej pemimpin yang sudah tercalar moral dan akhlak mereka," katanya dalam satu kenyataan.

Hasan, yang juga presiden Pertubuhan Jalur Tiga (Jati), sebuah badan bukan kerajaan, berharap para ulama popular ini tidak dengan begitu mudah mengkhianati ilmu dan amalan mereka sebagai ulama.

"Mereka perlu menghindarkan diri daripada fitnah yang mungkin dilontarkan kepada mereka sebagai ulama, yang sudah tentu pada analisa akhirnya menatijahkan sesuatu yang negatif terhadap Islam itu sendiri," katanya.

Mengenai dirinya, Hasan berkata beliau menyertai PAS atas dorongan untuk mendaulatkan Islam, melaksanakan negara Islam dan hudud serta membantu masyarakat berlandaskan al-Quran, Sunnah, Ijma' dan Qiyas.

"Buat seketika jalan ke arah itu kelihatan terbuka luas sehinggalah PAS menyertai Pakatan Rakyat yang telah mengubah hala tuju dan rangka kerja parti Islam itu.

"Parti itu tidak lagi menjulang Negara Islam, sebaliknya atas desakan DAP dan PKR diganti dengan Negara Berkebajikan," kata Anggota Dewan Undangan Negeri Gombak Setia itu.

Hasan berharap para ulama popular ini, tidak kira parti yang mereka pilih, akan menggunakan seluruh kekuatan minda, intelek, spiritual dan fizikal mereka untuk mengagungkan Allah SWT, dan tidak ada tujuan lain selain tujuan murni ini. - BERNAMA
Share on Google Plus

About Unknown

0 comments:

Catat Ulasan

Pihak JERING DAILY tidak akan bertanggungjawab terhadap setiap pandangan atau komen yang diutarakan melalui laman portal ini. Ia adalah pandangan peribadi masing-masing dan tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian kami selaku pengendali portal.

Sila guna bahasa dan perkataan yang sopan ketika menulis komen atau meluahkan pendapat kerana setiap komentar yang diutarakan itu mencerminkan keperibadian diri anda sendiri. Terima kasih.