AES Sesuai Dilaksanakan Selepas Angka Korban Jalanraya Meningkat


Ramai yang komplen perlaksanaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) akan membebankan pengguna jalanraya dengan saman yang bertimbun serta hanya menguntungkan pihak swasta yang terlibat dengan kontrak AES sahaja.

Betul atau tidak bukan lagi persoalan, kerana bila melibatkan wang ringgit ramai yang agak sensitif sekalipun sebahagian besar daripada kita sejak mengetahui kewujudan kamera di AES di sesuatu lokasi seringkali kita memperlahankan kenderaan mengikut halaju yang ditetapkan.

Boleh jadi keprihatinan kita memperlahankan kenderaan berdasarkan halaju itu berlaku secara spontan, mungkin kerana takut wang ringgit melayang atau barangkali juga kerana bimbang ditimpa kecelakaan.

Mana-mana satu di atas tetap betul, kerana naluri manusia agak risau jika kehilangan wang ringgit dan dari sudut lain pula ramai yang belum bersedia untuk menghuni liang lahad.

Atau barangkali sudah ramai pengguna jalanraya bersepakat untuk memufliskan syarikat swasta yang terlibat dengan kontrak AES, maka dengan demikian masing-masing memandu ikut peraturan halaju, boleh jadi juga begitu.

Saban hari satu hakikat yang pasti banyak nyawa yang tidak berdosa menjadi korban di atas jalanraya. Ia boleh berlaku secara tidak sengaja atau sebaliknya, tiap kali berlakunya kemalangan maut, nyawa yang melayang tidak lagi dapat ditukar ganti.

Andai berlaku kejadian tidak diingini misal kata sewaktu pulang dari bekerja, anak isteri di rumah sabar menanti namun kelibat si suami atau ayah belum kelihatan. Bila datang kenderaan polis membawa berita kematian si arwah, bayangkan betapa terkejut ahli keluarga di rumah.

Malang tak berbau, itu hakikat. Kemalangan maut atau kecederaan akibat perlanggaran di atas jalanraya boleh berlaku bila-bila masa, sama ada kita telah berhati-hati dalam pemanduan atau sebaliknya.

Namun setidak-tidaknya dengan adanya AES, kita dapat mengurangkan sang pemandu pelesit di atas jalanraya dan mengajar mereka untuk menghargai nyawa orang lain, sekaligus mengurangkan kadar kematian atau kecederaan akibat faktor kelajuan dan kecuaian.

Atau jika persoalan nyawa dan kebahagiaan kaum keluarga mahu diabaikan atas sebab apa sekalipun, mungkinkah kita perlu menunggu kadar kematian akibat kemalangan jalanraya meningkat kepada 10,000 kematian setahun barulah kita semua bersetuju untuk menyokong perlaksanaan AES.

Pada masa sekarang secara purata lebih kurang 6,000 nyawa melayang setiap tahun, untuk mencukupkan angka 10,000 hanya berbaki lagi kira-kira 4,000 nyawa lagi yang perlu dimatikan.

Perlukah kita menunggu angka 10k itu genap atau meningkat kepada 20 ribu orang maut setiap tahun, barulah terdetik sekelumit kesedaran dalam hati kita untuk membantu kerajaan menurunkan angka kematian di atas jalanraya sekarang? Tepuk kepala tanya akal.

Jika wang ringgit jadi perkiraannya, maka memandulah dengan kelajuan yang telah ditetapkan dengan demikian anda tidak perlu pening kepala membayar saman. Seandainya persoalan nyawa dan kasih sayang keluarga diutamakan, teruskan pemanduan berhemah demi orang yang tersayang.
Share on Google Plus

About Unknown

0 comments:

Catat Ulasan

Pihak JERING DAILY tidak akan bertanggungjawab terhadap setiap pandangan atau komen yang diutarakan melalui laman portal ini. Ia adalah pandangan peribadi masing-masing dan tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian kami selaku pengendali portal.

Sila guna bahasa dan perkataan yang sopan ketika menulis komen atau meluahkan pendapat kerana setiap komentar yang diutarakan itu mencerminkan keperibadian diri anda sendiri. Terima kasih.