Tiga pesanan Saidina Ali patut jadi asas bentuk peribadi mulia
Golongan
muda aset utama kepada sesebuah negara kerana pada merekalah segala
harapan masa depan diletakkan. Baik dan buruk generasi muda kini sedikit
sebanyak menggambarkan apa yang akan berlaku pada masa depan terhadap
negara.
Islam sejak awal lagi banyak memberikan fokus terhadap usaha
membina watak dan perwatakan baik dalam diri golongan itu. Saidina Ali
bin Abi Talib pernah menasihatkan generasi muda supaya ingat tiga
perkara utama yang akan memandu kehidupan berkualiti di sisi agama.
Beribadatlah kepada Allah sebanyak apa yang kamu perlukan daripada-Nya. Ambillah dunia selama mana kadar umurmu hidup di dunia. Berdosalah kepada Allah selagi kamu mampu memikul seksa-Nya. Himpunlah bekalan di dunia sebanyak usiamu di dalam kubur. Dan beramallah demi syurga sebesar kedudukan syurga yang kamu kehendaki.” - Pesanan Syaqiq al-Balkhi
Kata Saidina Ali: “Wahai pemuda Muslim, tidakkah kamu menginginkan kehidupan yang bahagia selamanya? Tidakkah kamu menginginkan jannah (syurga) Allah yang luasnya seluas langit dan bumi? Ketahuilah, syurga Allah itu diperoleh dengan usaha yang bersungguh-sungguh dalam beramal. Syurga itu disediakan untuk orang yang bertakwa yang mereka tahu, bahawa hidup di dunia ini hanyalah sementara. Mereka merasa, bahawa gemerlapnya kehidupan dunia ini akan menipu umat manusia dan mengheret mereka kepada kehidupan sengsara di negeri akhirat selamanya.”
Generasi muda seharusnya menghayati sepenuhnya nasihat Saidina Ali sebagai pedoman hidup supaya tidak tergelincir ke kancah negatif yang bukan saja memudaratkan diri sendiri malah akan memberi impak kepada masyarakat dan negara.
Perkara pertama ditekankan dalam nasihat ‘keramat’ Saidina Ali itu ialah berusaha menjalani gaya hidup menepati kehendak agama dengan menjadi insan bertakwa. Allah dalam al-Quran banyak kali berpesan menanamkan sifat ketakwaan.
Firman Allah SWT: “Tetapi orang yang bertakwa kepada Rabbinya, mereka mendapat bilik-bilik yang tinggi di atasnya dibangunkan pula bilik-bilik yang tinggi di bawahnya mengalir sungai-sungai. Allah telah berjanji dengan sebenar-benarnya. Allah tidak akan memungkiri janji-Nya.” (Surah Az-Zumar, ayat 20) Demikian janji Allah kepada hamba-Nya yang bertakwa semasa hidup di dunia selari dengan apa diperkatakan Saidina Ali tadi yang menasihatkan generasi pemuda supaya meletak sifat takwa sebagai peneraju hidup.
Baginda SAW dalam salah satu pesanannya: “Aku wasiatkan kepadamu selalu bertakwa kepada Allah kerana ia pangkal segala sesuatu, berjihad kerana itu bukti pendirian Islam, berzikir dan membaca al-Quran itu kerana ia rohmu di langit dan zikirmu di bumi.” (Riwayat Imam Ahmad)
Khalifah Bani Umaiyah, Umar Abdul Aziz juga pernah berpesan: “Aku wasiatkan kepadamu agar bertakwa kepada Allah kerana Dia tidak menerima selainnya, tidak melimpahkan rahmat selain kepada pelakunya dan tidak memberi pahala selain kepada orang yang bertakwa. Dan sesungguhnya orang yang mengingatkan mengenainya (ketakwaan) sangat banyak tetapi sedikit sekali melaksanakannya. Semoga Allah menjadikan kami dan kalian semua, orang yang bertakwa.”
Generasi muda yang kental ketakwaannya sudah pasti akan tercermin melalui sifat sahsiah peribadi dengan memancar perilaku berbudi luhur, tidak akan mudah terjebak dengan perbuatan sia-sia dan tidak tergamak meniru perilaku haram dibawa bangsa lain.
Mereka juga tidak sanggup menggadai maruah dengan membabitkan diri dalam perbuatan tidak bermoral. Golongan sebegini tidak akan membiarkan diri sebagai ‘kuda tunggangan’ syaitan yang membawa kepada kelalaian terhadap perintah agama.
Justeru, generasi muda yang dibekalkan sifat ketakwaan bermakna sudah memiliki lampu terang menerangi jalan kehidupan di dunia dalam acuan beragama yang luhur sekali gus memunculkan diri sebagai insan unggul buat dirinya, malah menjadi aset berharga masyarakat dan negara.
Generasi muda wajar juga menghayati apa yang pernah disuarakan oleh Syaqiq al-Balkhi yang pernah menjadi guru kepada Hatim al-Asham.
Kata Syaqiq dalam pesanannya: “Laksanakanlah lima perkara ini: Beribadatlah kepada Allah sebanyak apa yang kamu perlukan daripada-Nya. Ambillah dunia selama mana kadar umurmu hidup di dunia. Berdosalah kepada Allah selagi kamu mampu memikul seksa-Nya. Himpunlah bekalan di dunia sebanyak usiamu di dalam kubur. Dan beramallah demi syurga sebesar kedudukan syurga yang kamu kehendaki.”
Ini satu rangkuman ucapan yang bermanfaat buat menginsafkan diri kita khususnya kepada generasi muda hari ini supaya memantapkan kualiti hidup berteraskan kepada kehendak piawai kehidupan beragama yang utuh.
Sumber: Berita Harian
0 comments:
Catat Ulasan
Pihak JERING DAILY tidak akan bertanggungjawab terhadap setiap pandangan atau komen yang diutarakan melalui laman portal ini. Ia adalah pandangan peribadi masing-masing dan tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian kami selaku pengendali portal.
Sila guna bahasa dan perkataan yang sopan ketika menulis komen atau meluahkan pendapat kerana setiap komentar yang diutarakan itu mencerminkan keperibadian diri anda sendiri. Terima kasih.