SUARAM atau Suara Rakyat Malaysia adalah sebuah pertubuhan anti
kerajaan Malaysia. Ia hanya anti kepada kerajaan yang diperintah oleh
parti Barisan Nasional (BN) naungan UMNO.
Misinya hanya akan tercapai (accomplished) sekiranya kerajaan
Malaysia sekarang jatuh ke tangan pakatan pembangkang naungan DAP, yang
bonekanya terdiri daripada pak lebai Pas dan PKR.
Sudah lama Suaram ini bergerak. Sering membuat kacau, seolah-olah ia
adalah badan hak asasi manusia. Tapi umum mengetahui, ia lebih
bermotifkan politik haluan DAP.
Pertukaran pemerintah itu dikenali sebagai Regime Change. Gelombang
perubahan ini telah tercetus semasa krisis ekonomi dan bersekali krisis
politik sekitar 1989 dan 1999. Ketika itu ekonomi dunia merudum. Ketika
itu juga berlaku krisis politik di Malaysia, yang memperlihatkan Anwar
Ibrahim dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Agenda besar (grand design) krisis politik ini sebenarnya cukup
hebat. Semuanya sudah dirancang. Ikut perancangannya, Anwar sepatutnya
menjadi PM Malaysia Ke-5, bukan Pak Lah. Pihak asing juga telah meletak
harapan yang tinggi untuk melihat anak yang dibela itu menjadi PM.
Tapi Dr. Mahathir Mohamad bijak. Mungkin juga dia mendapat ilham
dari langit supaya memecat Anwar. Jika tidak dilakukan maka kuasa itu
akan berjayalah menguasai tanah Melayu ini.
Dalam rantau ini, hanya Malaysia yang belum dapat dikuasai secara
total. Myanmar, sebuah negara kuku besi dan berdindingkan waja itu pun,
menjadi negara terakhir yang berjaya dirongkainya.
Singapura memanglah terlalu sekutu. Thailand walaupun tidak seteruk Singapura juga sekutu kuat. Filipina jangan cakaplah.
Indonesia sudah berjaya ditakluki ekoran kejatuhan Suharto dulu.
Suharto dijatuhkan kerana dipaksa menerima pinjaman IMF untuk
menyelamatkan ekonomi negara itu. Harga minyak tiba-tiba naik melambung
sehingga rakyat memberontak.
Anwar cuba cadangkan Malaysia juga ambil pinjaman IMF, tapi Dr.
Mahathir tolak. Ketika Pak Harto dijatuhkan, Dr. Mahathir selamatkan
Malaysia.
Vietnam, Laos, Kemboja dan lain-lain tidak begitu strategik bagi kuasa asing itu.
Perlu diingat Malaysia pernah menjadi anak harimau kuasa ekonomi Asia
dan negara ini dianugerahkan Allah Taala dengan kemakmuran semula jadi.
Ia juga dikelilingi dengan kawasan maritim yang strategik.
Selagi kerajaan BN, dinaungi UMNO ini belum dapat dijatuhkan, maka
selagi itulah kuasa asing dan sekutu kuatnya tidak berpuas hati.
DAP jika berjaya menguasai negara ini kelak, berjanji akan
melaksanakan dasar sama-rata seperti mana yang diamalkan oleh Republik
Singapura. Tapi sayang di republik itu seorang Melayu pun tidak berada
di posisi terpenting dan strategik, misalnya pertahanan dan lain-lain.
Difahamkan waima juruterbang pun payah mahu dilantik. Mungkin juga orang
Melayu Singapura memang tidak layak dari segi meritokrasi?
Dasar sama-rata atau Malaysia Malaysian itu ialah matlamat paling
tinggi yang telah diletakkan DAP. Mereka sedang menunggu detik-detiknya
sahaja. Buku Jingga, yang dicanang oleh Anwar itu hanyalah kacang putih.
DAP, sebenarnya tak peduli pun buku itu.
Suaram atau Suara Rakyat, yang hanya mewakili suara jahat rakyat,
telah ditempatkan secara strategik untuk menggerakkan strategi-strategi
itu.
Namun, kita ucapkan tahniah kepada Datuk Ismail Sabri Yaakob,
walaupun sedikit terlewat, namun, pendedahan demi pendedahan beliau
mengenai tindak-tanduk Suaram sekurang-kurang melegakan keseluruhan
rakyat. Rakyat sudah bosan dengan tindak-tanduk Suaram dan NGO-NGO
tajaan kuasa asing itu.
Tindak-tanduk subversif mereka cukup berbahaya. Sepatutnya pihak
berkuasa sudah membanteras mereka awal-awal lagi. Tapi ia tidak berlaku.
Kita tertanya-tanya apakah Kerajaan Singapura akan membenarkan
pergerakan yang serupa seperti Suaram ini bergerak di negaranya?
Jawapannya kita sudah boleh agak.
Kerajaan Malaysia selama ini terlalu berlembut. Portal-portal berita
yang ditaja melalui dana-dana asing juga dibenarkan beroperasi, walaupun
kesemua analisisnya mengutuk atau berpaksikan pembangkang dan anti
pemerintah. Ia masih dibenarkan beroperasi, malah portal-portal itu
kadang-kala dianggap seperti media arus perdana pula.
Itulah dasar toleransi kita, yang sedikit demi sedikit amalan baik itu memakan diri sendiri.
Marilah kita mendesak kerajaan bertindak segera. Selepas pilihan raya
ini, jika kerajaan Putrajaya masih memerintah, laksanakan segera
pembasmian dan pembersihan mutlak (a total crackdown) terhadap NGO-NGO
parasit seperti ini.
Dakwalah penggerak-penggeraknya ke mahkamah di bawah hukuman paling
keras kerana mereka telah menderhaka kepada Yang di-Pertuan Agong.
Tindak-tanduk mereka menerima dana asing daripada pihak yang
berkepentingan untuk menjatuhkan kerajaan semasa merupakan satu
penderhakaan.
Haramkan mereka seperti mana kita pernah mengharamkan Parti Komunis
Malaya (PKM) dulu. Jika mereka masih bergerak, kita buru mereka sehingga
ke lubang cacing.
Jika kita gagal bertindak kali ini, kitalah yang akan ke lubang kubur!
Zaini Hassan - Utusan
0 comments:
Catat Ulasan
Pihak JERING DAILY tidak akan bertanggungjawab terhadap setiap pandangan atau komen yang diutarakan melalui laman portal ini. Ia adalah pandangan peribadi masing-masing dan tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian kami selaku pengendali portal.
Sila guna bahasa dan perkataan yang sopan ketika menulis komen atau meluahkan pendapat kerana setiap komentar yang diutarakan itu mencerminkan keperibadian diri anda sendiri. Terima kasih.