SUNGKAI: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun
Razak pada Rabu mengumumkan pemberian duit raya berjumlah RM32,313,300
kepada 112,635 peneroka Felda di seluruh negara.
Replika cek duit raya itu diserahkan kepada setiap ketua peneroka
Wilayah Felda pada program Ihya Rahmat warga Felda peringkat kebangsaan
di sini malam ini.
Najib berkata peneroka yang bersama Felda akan menerima RM300 manakala yang tidak bersama Felda menerima RM150.
"Sebelum ini peneroka hanya bergantung kepada hasil ladang mereka
sahaja, tapi hari ini setiap peneroka dapat dari punca-punca lain.
"Dalam perjalanan ke sini tadi, saya kira-kira punca lain yang setiap
peneroka dapat termasuk bonus tahunan, duit raya dan durian runtuh
sebanyak tiga kali," katanya ketika berucap di hadapan kira-kira 7,000
peneroka pada program itu di Felda Gunung Besout 2 di sini.
Najib turut mengumumkan pembinaan 420 unit Perumahan Generasi Baharu
Felda (PGBF) bagi gugusan Besout dengan keluasan 19.14 hektar di samping
pembinaan sebuah dewan serbaguna bernilai RM900,000 di Felda Besout 2.
Beliau berkata nikmat dan perubahan yang dikecapi warga Felda hari
ini adalah hasil perjuangan yang dibawa kerajaan pimpinan Barisan
Nasional (BN).
Katanya semasa dailog pintar di Tanzania baru-baru ini, kebanyakan
negara yang mendapat kemerdekaan hampir sama dengan Malaysia masih
membicarakan mengenai pembangunan pertanian di luar bandar yang tidak
maju serta bekalan asas.
"Sedangkan perkara ini di negara kita telah tinggal dalam lipatan
sejarah. Kita telah berjaya menyelesaikan agenda pembangunan luar
bandar. Ini bukan perkara yang disebut secara khayalan tapi dilihat
dengan mata kita sendiri," katanya.
Beliau turut menolak dakwaan pembangkang dua tahun lepas bahawa Felda
akan bankrap dengan menjelaskan kedudukan agensi itu semakin kukuh dan
mantap.
"Felda tidak bankrap. Nilai saham yang terkumpul Kumpulan Felda
termasuk dalam syarikat tersenarai kalau kita jual lebih RM8 bilion yang
boleh diperoleh," katanya.
Kejayaan Felda juga dibuktikan dengan memiliki kilang di Kanada,
restoran di Mekah, hotel di Kota Kinabalu dan pemilikan tanah di
Kalimantan, Indonesia, katanya.
"Kita ada perancangan untuk jangka masa lebih jauh ke hadapan. Kita
harap satu hari nanti Felda jadi lebih besar dan kukuh di pasaran
antarabangsa," katanya.
Hadir sama Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad. - BERNAMA
0 comments:
Catat Ulasan
Pihak JERING DAILY tidak akan bertanggungjawab terhadap setiap pandangan atau komen yang diutarakan melalui laman portal ini. Ia adalah pandangan peribadi masing-masing dan tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian kami selaku pengendali portal.
Sila guna bahasa dan perkataan yang sopan ketika menulis komen atau meluahkan pendapat kerana setiap komentar yang diutarakan itu mencerminkan keperibadian diri anda sendiri. Terima kasih.