KUALA LUMPUR: Seorang pelakon popular 80-an didakwa di
Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas empat pertuduhan menipu dengan
menyamar selain dua tuduhan memalsukan kad pengenalan, tiga tahun lalu.
Putri Salbiah Megat Razalli, 49, bagaimanapun mengaku tidak bersalah
terhadap dua pertuduhan menipu Ng Miow Hia, 48, dalam satu urus niaga
pembelian tanah dengan memperkenalkan dua individu sebagai pemilik tanah
di Mukim Rim di Jasin, Melaka.
Dia didakwa telah memperkenalkan Ng kepada Majid Senan dengan nama
Ahmad SK Duis dan Yang Azizah Mohamed Yaccob dengan nama Sipah Duis @
Sipak Duez semasa bertemu di sebuah restoran di KLCC pada 1 April 2010.
Putri Salbiah juga dituduh mengulangi perbuatan itu di lokasi sama pada 23 Jun 2010.
Empat kesalahan tersebut dilakukan di bawah Seksyen 419 Kanun
Keseksaan dan boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun, denda atau
kedua-duanya sekalinya jika disabitkan kesalahan.
Putri Salbiah juga didakwa memalsukan kad pengenalan untuk kegunaan
Majid dan Yang Azizah dengan nama palsu mereka di antara Januari dan
April 2010.
Kesalahan di bawah Peraturan (25)(1)(j) Peraturan Pendaftaran Negara
1990 (Pindaan 2007) itu jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara
maksimum selama tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau
kedua-duanya sekali.
Timbalan Pendakwa Raya bagi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
(SPRM), Anthony Kevin Morais menawarkan ikat jamin sebanyak RM5,000 bagi
setiap pertuduhan dengan alasan tertuduh enggan bekerjasama dalam
siasatan kes tersebut.
Tambah Anthony, tertuduh juga sebelum ini pernah melarikan diri ke
Brunei yang kemudiannya di tangkap oleh pihak berkuasa negara itu pada 9
Julai lalu sebelum di reman di Mahkamah Majistret di Miri sebelum
didakwa.
Peguam Mohd Shahrullah Khan pula berkata, Putri Salbiah telah kembali
ke Brunei untuk menjaga bapanya yang sakit dan meminta ikat jamin
sebanyak RM10,000 bagi semua pertuduhan.
Hakim Ahmad Zamzani Mohd Zain bagaimanapun menetapkan ikat jamin
sebanyak RM24,000 dikenakan terhadap Putri Salbiah bagi semua pertuduhan
dengan seorang penjamin selain pasportnya ditahan.
Beliau menetapkan 16 Ogos depan sebagai sebutan semula kes dan
memerintahkan pihak pendakwa membatalkan perintah tahanan yang dibuat di
Miri dan mahkamah akan mengeluarkan surat kepada Mahkamah Majistret di
Miri bagi tujuan tersebut.
Putri Salbiah sebelum ini dikenali dalam filem 80-an iaitu Ranjau Sepanjang Jalan di samping pelakon Sarimah dan Ahmad Mahmud.
Dia juga pernah menjadi pelakon utama dalam filem Keluarga 99 pada tahun 1987 bersama Salih Yaacob, Mr. Os dan Din Glamour.
mStar
0 comments:
Catat Ulasan
Pihak JERING DAILY tidak akan bertanggungjawab terhadap setiap pandangan atau komen yang diutarakan melalui laman portal ini. Ia adalah pandangan peribadi masing-masing dan tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian kami selaku pengendali portal.
Sila guna bahasa dan perkataan yang sopan ketika menulis komen atau meluahkan pendapat kerana setiap komentar yang diutarakan itu mencerminkan keperibadian diri anda sendiri. Terima kasih.