KUALA LUMPUR: Akta Pentadbiran Undang-undang Islam
(Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Akta 505) akan terus diguna pakai
selepas tiga rang undang-undang yang bertujuan menggantikan dan meminda
akta itu, ditarik balik di Dewan Rakyat pada Isnin.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom
berkata, dengan penarikan balik itu bermakna tidak ada sebarang pindaan
dibuat terhadap akta asal.
"Ini bermakna Akta 505 yang kita guna sekarang masih kekal dan akta
itu tidak ada apa-apa pindaan, baik dalam semua sebab, termasuk
pertukaran agama kanak-kanak di bawah 18 tahun," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis
Anugerah Kecemerlangan Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK) dan Sijil
Tinggi Agama Malaysia(STAM) peringkat kebangsaan di sini, Isnin.
Jamil Khir pada sesi Dewan Rakyat pada Isnin mengusulkan penarikan
balik RangUndang-undang Pentadbiran Agama Islam (Wilayah-Wilayah
Persekutuan) 2013, RangUndang-undang Tatacara Mal Mahkamah Syariah
(Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2013 dan Rang Undang-undang
Tatacara Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2013.
Beliau berkata, penarikan balik rang undang-undang itu diputuskan
bagi tujuan memperkemaskannya dengan mengambil kira kepentingan semua
pihak.
Katanya, proses konsultasi bersama pelbagai pihak akan dilaksanakan, namun tempoh masa belum ditetapkan.
Dalam perkembangan lain, Jamil Khir berharap majlis agama negeri akan
memantau penggunakan institusi masjid bagi memastikan ia tidak
digunakan bagimenyampaikan ceramah politik, terutama pada kempen pilihan
raya kecil Dewan Undangan Negeri Kuala Besut, di Terengganu.
"Kuasa agama di bawah negeri masing-masing, jadi kami amat
mengharapkan kerajaan negeri dengan majlis agama negeri dalam soal ini,
sebab Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) adalah penyelaras di
bahagian pusat tetapi penguatkuasaan agama di bawah kuasa negeri,"
katanya.
Pada majlis anugerah itu, dua pelajar iaitu Mohd Ridwan Hakim Mohd
Fadzali dan Muhammad Hafiz Hussin masing-masing menerima Anugerah
Perdana UPKK dan STAM peringkat kebangsaan 2012.
Seramai 14 orang pelajar lagi menerima Anugerah Pelajar Cemerlang
UPKK 2012 dan 11 orang menerima Anugerah Pelajar Cemerlang STAM 2012. - BERNAMA
0 comments:
Catat Ulasan
Pihak JERING DAILY tidak akan bertanggungjawab terhadap setiap pandangan atau komen yang diutarakan melalui laman portal ini. Ia adalah pandangan peribadi masing-masing dan tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian kami selaku pengendali portal.
Sila guna bahasa dan perkataan yang sopan ketika menulis komen atau meluahkan pendapat kerana setiap komentar yang diutarakan itu mencerminkan keperibadian diri anda sendiri. Terima kasih.