KUALA LUMPUR: Menteri Pelancongan dan Kebudayaan,
Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz mahu jalan di sepanjang pasar malam
Jonker Walk di Melaka terus ditutup kepada lalu lintas.
Beliau berkata keputusan membenarkan kenderaan melalui kawasan itu
hanya akan menambah kesesakan jalan raya kerana perlu bersaing dengan
pelancong yang berjalan kaki.
"Nama pun Jonker Walk, ia memerlukan pedestrians (pejalan kaki)
berjalan bukan hanya di kaki lima. Orang mesti berjalan di atas jalan.
"Tiada sebab selepas 13 tahun baru nak fikir semula benda ni. Sudah
13 tahun orang kenal Jonker Walk. Ia tidak mendatangkan apa-apa manfaat
atau faedah kalau kita buka Jonker Walk untuk kenderaan. Ia tidak lagi
jadi Jonker Walk, ia akan jadi Jonker Highway," katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas melancarkan Karnival Jualan
Mega 1Malaysia dan Jualan Bersepadu 1Malaysia di Panggung Sari, Kompleks
Kraf di sini, Jumaat.
Semalam, kerajaan negeri Melaka memutuskan untuk tetap membuka laluan
bagi kenderaan di sepanjang pasar malam Jonker Walk mulai hari ini
dalam usaha membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas susulan rungutan
pelbagai pihak termasuk pelancong dan rakyat tempatan, terutama di
kawasan bandar pada hujung minggu.
Dilaporkan pembukaan laluan di sekitar Jonker Walk itu tidak
melibatkan penutupan gerai sedia ada di sepanjang pasar malam itu
bermula 6 petang hingga 12 tengah malam setiap Jumaat hingga Ahad.
Bagaimanapun, Mohamed Nazri berharap keputusan itu dikaji semula.
"Saya telah berjumpa dengan Ketua Menteri Melaka (Datuk Idris Haron),
dia kata ini merupakan percubaan kerana ada permintaan supaya jalan
dibuka dan benarkan kenderaan lalu.
"Tetapi selepas empat hujung minggu (tempoh percubaan), saya harap ia
akan terus ditutup. Jonker Walk ialah tempat yang mesti dikunjungi di
Melaka. Jadi kalau kita buka jalan itu dan benarkan kereta lalu, kalau
pelancong tidak datang lagi jangan salahkan orang lain," katanya.
Turut hadir pada majlis pelancaran itu Timbalan Menteri Perdagangan
Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Ahmad Bashah Md
Hanipah, Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Datuk
Ong Hong Peng, Ketua Setiausaha KPDNKK Datuk Basaruddin Sadali dan Ketua
Pengarah Tourism Malaysia Datuk Mirza Mohammad Taiyab. BERNAMA
0 comments:
Catat Ulasan
Pihak JERING DAILY tidak akan bertanggungjawab terhadap setiap pandangan atau komen yang diutarakan melalui laman portal ini. Ia adalah pandangan peribadi masing-masing dan tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian kami selaku pengendali portal.
Sila guna bahasa dan perkataan yang sopan ketika menulis komen atau meluahkan pendapat kerana setiap komentar yang diutarakan itu mencerminkan keperibadian diri anda sendiri. Terima kasih.