Agama: Sifat Lemah Lembut Boleh Eratkan Hubungan Silaturahim

Silaturahim-sesama-manusiaBersifat lemah lembut dalam berkata-kata dan bertindak adalah sifat yang disukai Allah SWT. Insan yang sengaja memilih berhias diri dengan sifat mulia terpuji ini bukan saja mewarisi keperibadian rasul yang mulia, juga memenuhi ciri keindahan Islam.

Tanpa mengira di mana dan dalam suasana bagaimana, orang yang beriman sentiasa mempamerkan sifat lemah lembut, berlapang dada dan tenang.
 
Sifat lemah-lembut, sopan, mudah mesra dan sabar sesungguhnya mempunyai kuasa tarikan yang kuat terhadap masyarakat yang melihat. Sifat ini sangat serasi dengan Muslim yang bertanggungjawab menyeru manusia lain ke jalan diredai Allah SWT.

Sirah memaparkan bagaimana masyarakat jahiliah begitu senang menerima ajakan Rasulullah SAW mendekati agama Islam yang dibawanya. Jika berdakwah dengan cara kasar dan bernada sombong, sudah tentu tidak ada seorang pun yang terpengaruh, malahan semakin menjauh.

Allah SWT berfirman: “Maka disebabkan rahmat dari Allahlah kamu berlaku lemah-lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka akan menjauhkan diri dari sekelilingmu.” (Surah Ali-Imran, ayat 159)

Rasulullah mengutamakan kemesraan dan kelembutan dalam pergaulan. Walau ada saja orang yang ingin berbuat tidak baik atau sakit hati terhadap Baginda, namun itu tidak pernah melemahkan semangatnya untuk menerangi manusia yang diselubungi kabus kejahilan.

Rasulullah SAW tetap tidak berganjak daripada menunjukkan sikap manis dan tidak pernah menampak kemarahan di wajahnya. Tindakan beginilah yang diajarkan Rasulullah SAW kepada umatnya.

Sifat lemah lembut bukan lemah

Ada beranggapan jika berlemah-lembut dalam sesuatu perkara menunjukkan kelemahan atau sikap tidak tegas hingga mudah dipermain orang. Anggapan itu tidak tepat kerana lemah lembut bukan bermakna lemah, tetapi secara tidak langsung melahirkan kekuatan tersendiri.

Contohnya, guru di sekolah yang selalu berlemah-lembut, mesra dan kaya dengan senyuman dalam pengajaran serta pembelajarannya akan menzahirkan sifat kasih sayang hingga menumbuhkan rasa kecintaan dalam diri murid-murid dan hormat terhadap guru.

Namun apabila bersikap kasar dan selalu marah dengan muka bengis, nescaya akan ramai murid yang menghindari bahkan menyalakan api kebencian terhadap guru. Kesimpulannya, jika kita selalu berlemah-lembut terhadap sesama insan akan menghasilkan banyak manfaat dan kebaikan.

Dari sudut lain, sifat lemah-lembut, berlapang dada dan sabar boleh menguatkan ikatan silaturahim sesama Islam, melenyapkan suasana perpecahan serta pergaduhan. Rasulullah SAW melarang keras perbuatan atau tindakan yang boleh menghancurkan persaudaraan dan perpaduan.
Share on Google Plus

About Unknown

0 comments:

Catat Ulasan

Pihak JERING DAILY tidak akan bertanggungjawab terhadap setiap pandangan atau komen yang diutarakan melalui laman portal ini. Ia adalah pandangan peribadi masing-masing dan tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian kami selaku pengendali portal.

Sila guna bahasa dan perkataan yang sopan ketika menulis komen atau meluahkan pendapat kerana setiap komentar yang diutarakan itu mencerminkan keperibadian diri anda sendiri. Terima kasih.