Agama: Cinta Jadi Ibadah Jika Diniat Kerana Allah

cinta-ibadah-niat-kerana-allah
Ibnul Qayyim mengatakan, cinta tidak boleh didefinisikan dengan jelas. Bahkan apabila didefinisikan, tidak menghasilkan (sesuatu) melainkan menambah kabur dan tidak jelas. (Bererti) definisinya adalah adanya cinta itu sendiri.

Cinta adalah amalan hati yang akan wujud sendirinya dalam (amalan) lahiriah. Apabila cinta itu sesuai dengan apa yang diredai Allah SWT, maka ia akan menjadi ibadah. Jika tidak sesuai dengan reda-Nya maka akan menjadi satu perbuatan maksiat.
 
Cinta yang dibangunkan kerana Allah akan menghasilkan kebaikan dan tinggi nilainya. Bukti dan tanda cinta kepada Allah adalah dengan mengikuti Rasulullah SAW.


Rasulullah SAW bersabda dalam hadis diriwayatkan daripada Anas bin Malik: “Tiga perkara yang jika ketiganya ada pada diri seseorang nescaya dia akan mendapatkan manisnya iman: hendaklah Allah dan Rasul-Nya lebih dia cintai, hendaklah dia mencintai seseorang melainkan kerana Allah, dan hendaklah dia benci untuk kembali kepada kekufuran setelah Allah selamatkan dia daripada kekufuran itu seperti mana dia benci untuk dilemparkan ke dalam neraka.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Ibnul Qayyim mengatakan, antara sebab datangnya cinta Allah kepada seseorang hamba ada 10 perkara iaitu membaca al-Quran, mendekatkan diri kepada Allah, sentiasa berzikir, mengutamakan kecintaan Allah di atas kecintaanmu ketika bergeloranya nafsu.

Ibadah hati

Hati selalu mencari nama dan sifat Allah, menyaksikan kebaikan Allah dan segala nikmat-Nya, tunduknya hati di hadapan Allah, berkhalwat (bermunajat), duduk bersama orang yang memiliki sifat cinta dan jujur serta menjauhkan segala sebab yang akan menghalang hati daripada Allah.

Cinta adalah salah satu daripada ibadah hati yang memiliki kedudukan tinggi dalam agama seperti ibadah lain. Allah berfirman: “Tetapi Allah menjadikan kamu mencintai keimanan dan menjadikan iman itu indah dalam hatimu.” (Surah al-Hujurat, ayat 7)

Firman-Nya lagi: “Maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Allah mencintai mereka dan mereka pun mencintai-Nya.” (Surah al-Maidah, ayat 54)

Ulama ada yang membahagikan cinta kepada dua bahagian dan empat bahagian. Asy-Syaikh Muhammad bin ‘Abdul Wahhab al-Yamani dalam kitab al-Qaulul Mufid fi Adillatit Tauhid, menyatakan cinta ada empat.

Empat bahagian cinta

Pertama, cinta ibadah iaitu mencintai Allah dan apa-apa yang dicintai-Nya dengan dalil ayat serta hadis. Kedua, cinta syirik iaitu mencintai Allah dan juga selain-Nya seperti cintanya kepada Allah.

Allah SWT berfirman: “Dan di antara manusia ada yang menjadikan selain Allah sebagai tandingan-tandingan (bagi Allah). Mereka mencintai tandingan itu seperti cinta mereka kepada Allah.” (Surah al-Baqarah, ayat 165)

Ketiga, cinta maksiat iaitu cinta yang akan menyebabkan seseorang melaksanakan apa yang diharamkan Allah dan meninggalkan yang diperintahkan-Nya. Allah berfirman: “Dan kalian mencintai harta benda dengan kecintaan yang sangat.” (Surah al-Fajr, ayat 20)

Keempat, cinta tabiat seperti cinta kepada anak, keluarga, diri, harta dan perkara lain yang dibolehkan. Allah berfirman: “Ketika mereka (saudara-saudara Yusuf) berkata, ‘Yusuf dan adiknya lebih dicintai oleh bapa kita daripada kita.” (Surah Yusuf, ayat 8)

Jika cinta tabiat ini menyebabkan kita lalai daripada ketaatan kepada Allah sehingga meninggalkan kewajipan, ia akan berubah menjadi cinta maksiat. Apabila cinta tabiat menyebabkan kita lebih mencintai sesuatu daripada Allah, maka cinta tabiat berubah menjadi cinta syirik.

Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah mengatakan, “Ketahuilah bahawa yang menggerakkan hati menuju Allah ada tiga perkara: cinta, takut, dan harapan. Perkara paling kuat adalah cinta, dan cinta itu sendiri tujuan kerana akan diperoleh di dunia dan akhirat.”

Asy-Syaikh ‘Abdurrahman as-Sa’di menyatakan, “Dasar tauhid dan rohnya adalah keikhlasan dalam mewujudkan cinta kepada Allah. Cinta adalah landasan penyembahan dan peribadahan kepada-Nya. Bahkan cinta itu hakikat ibadah. Tidak akan sempurna tauhid kecuali apabila kecintaan seseorang hamba kepada Rabbnya juga sempurna.”
Share on Google Plus

About Unknown

0 comments:

Catat Ulasan

Pihak JERING DAILY tidak akan bertanggungjawab terhadap setiap pandangan atau komen yang diutarakan melalui laman portal ini. Ia adalah pandangan peribadi masing-masing dan tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian kami selaku pengendali portal.

Sila guna bahasa dan perkataan yang sopan ketika menulis komen atau meluahkan pendapat kerana setiap komentar yang diutarakan itu mencerminkan keperibadian diri anda sendiri. Terima kasih.