PEKAN: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata sejarah
membuktikan revolusi menumbangkan kerajaan sedia ada tidak semestinya
menjanjikan kesudahan yang lebih manis dari apa yang dikecapi sebelum
itu.
Perdana Menteri berkata apa yang berlaku di negara-negara Arab
baru-baru ini, misalnya, rakyat negara tersebut terpaksa menanggung
kadar inflasi dan kadar pengangguran yang tinggi.
"Perubahan terbaik adalah perubahan yang dirancang secara sistematik,
rapi dari atas ke bawah dan dari aspirasi rakyat itu sendiri," katanya
ketika berucap pada majlis penyerahan kunci rumah Program Penyusunan
Semula Kampung (PPSK) di Felcra Sri Makmur, di sini, Sabtu.
Najib berkata kepimpinan kerajaan Barisan Nasional (BN) adalah
kesinambungan daripada kepimpinan sebelum ini yang sentiasa memberi
kesejahteraan kepada rakyat.
"Perjuangan kita berdasarkan perjuangan yang sambung menyambung dari
satu zaman ke satu zaman, kalau terputus kita tidak akan mungkin sampai
ke garis penamat," katanya.
Najib berkata sejak Kebangkitan Dunia Arab (Arab Spring) yang menukar
rejim lama kepada baharu bukan memberi kesan yang baik kepada rakyat
sebaliknya kehidupan rakyat di negara itu semakin teruk berbanding
sebelumnya.
Semasa melawat Mesir baru-baru ini, katanyam, beliau mendapat
maklumbalas dari pelajar Malaysia di sana bahawa kadar inflasi yang
tinggi menyebabkan mereka terbeban dengan kos sara hidup yang semakin
meningkat.
Najib berkata beliau telah memberi arahan supaya pelajar tajaan MARA
di Mesir diberi elaun sara hidup bagi mengurangkan bebanan mereka
berikutan kadar inflasi yang meningkat di negara itu.
Pada majlis itu, Najib menyerahkan 160 kunci rumah kepada generasi
kedua Felcra yang bakal mendiami rumah yang berharga RM50,000 seunit
itu.
Turut hadir Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd
Shafie Apdal, Pengerusi Felcra, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dan
Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob. BERNAMA
0 comments:
Catat Ulasan
Pihak JERING DAILY tidak akan bertanggungjawab terhadap setiap pandangan atau komen yang diutarakan melalui laman portal ini. Ia adalah pandangan peribadi masing-masing dan tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian kami selaku pengendali portal.
Sila guna bahasa dan perkataan yang sopan ketika menulis komen atau meluahkan pendapat kerana setiap komentar yang diutarakan itu mencerminkan keperibadian diri anda sendiri. Terima kasih.