KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri Tun Dr
Mahathir Mohamad pada Khamis berkata beliau amat yakin kerajaan Barisan
Nasional (BN) akan terus berkuasa selepas Pilihan Raya Umum Ke-13.
Kata beliau pilihan raya itu, yang akan diadakan tahun ini, merupakan pertarungan politik paling penting yang perlu dihadapi BN.
Dr Mahathir juga berharap BN akan memperoleh majoriti dua pertiga di
Parlimen bagi membolehkan kerajaan melaksanakan dasarnya tanpa halangan.
"Pakatan Rakyat hanya sebuah gabungan untuk menghadapi pilihan raya
akan datang. Sekiranya mereka dipilih untuk memerintah, saya yakin
setiap parti kemudiannya akan berperang untuk melaksanakan ideologi
masing-masing.
"Itu sudah tentu tidak baik bagi Malaysia dan akan mengganggu semua
usaha untuk membangunkan ekonomi yang dilaksanakan kerajaan sekarang,"
katanya pada persidangan Tinjauan Strategik Malaysia Ke-15 di sini
Khamis.
Dr Mahathir berkata percakaran dalam kumpulan pembangkang menjadi
sebab utama para pengundi kembali mempunyai keyakinan terhadap gabungan
parti pemerintah.
Katanya kerajaan BN, di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri
Najib Tun Razak, memahami isu sosial dan ekonomi, sesuatu yang sangat
penting bagi sebuah negara membangun.
Beliau berkata kerajaan telah merangka pelan pembangunan secara
besar-besaran bagi masa depan Malaysia dan sejajar dengan itu, adalah
menjadi tanggungjawab rakyat Malaysia untuk memberi peluang kepada
kerajaan membuktikan keberkesanan pelan itu.
"Perubahan itu sendiri akan membawa kemusnahan dan mencetuskan
keadaan tidak menentu. Keadaan kacau-bilau memang tidak baik untuk
mana-mana negara pun.
"Sebuah kerajan baharu juga akan mengambil banyak masa untuk
menyesuaikan diri dengan peranan baharunya, daripada pembangkang kepada
kerajaan. Masa yang dibazirkan ini akan menggugat pertumbuhan Malaysia,"
katanya.
Ditanya tentang masa yang sesuai untuk membubarkan Parlimen, Dr
Mahathir berkata: "Saya berpendapat ia patut dibuat selepas sambutan
Tahun Baru Cina." BERNAMA
0 comments:
Catat Ulasan
Pihak JERING DAILY tidak akan bertanggungjawab terhadap setiap pandangan atau komen yang diutarakan melalui laman portal ini. Ia adalah pandangan peribadi masing-masing dan tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian kami selaku pengendali portal.
Sila guna bahasa dan perkataan yang sopan ketika menulis komen atau meluahkan pendapat kerana setiap komentar yang diutarakan itu mencerminkan keperibadian diri anda sendiri. Terima kasih.