KOTA BAHARU: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun
Razak percaya perjuangan Barisan Nasional (BN) untuk mengubah kepimpinan
negeri Kelantan turut melibatkan tokoh agama seperti golongan ulama dan
umarak.
Beliau berkata tokoh agama ini merupakan pejuang mewakili suara
masyarakat Kelantan yang sentiasa dahagakan perubahan tanpa mengetepikan
pegangan agama.
"Kalau ingin melihat perubahan, inilah kumpulan yang akan mencipta
sejarah. Perjuangan kita melibatkan gandingan baharu pemimpin-pemimpin
bertaraf ulama dan umarak (pemimpin).
"Ulama-ulama ini yang tidak main politik. Mereka ini juruh (baik dan
bagus), Insya-Allah mereka akan bersama-sama dengan kita. Inilah yang
menjadi pegangan saya," katanya pada majlis minum petang bersama badan
bukan kerajaan dan pemimpin tempatan termasuk pemimpin sekolah pondok di
sini.
Terdahulu perdana menteri mempengerusikan mesyuarat badan perhubungan Umno Kelantan kira-kira dua jam.
Najib berharap perjuangan ulama dan umarak akan sentiasa diteruskan
serta disokong pelbagai pihak dalam usaha mencapai matlamat yang
dirancang.
"Teruskan usaha kita dengan ceramah-ceramah yang dibuat oleh golongan
ulama muda mahu pun tua, dan guru pondok. Ini akan membantu kita dalam
memberi penjelasan bahawa BN berada di atas landasan yang benar,"
katanya.
Jelas Najib, Kelantan merupakan negeri pertama yang dimasukkan dalam
manifesto BN dan manifesto itu akan dilaksanakan dan dibuktikan kerana
janji kerajaan pusat sentiasa ditepati.
Perdana menteri hari ini mengumumkan tujuh projek besar antara
sebahagian manifesto BN yang bakal dilaksanakan bagi memajukan Kelantan
tidak lama lagi.
Projek itu merangkumi pembinaan lebuhraya Kuala Krai-Kota Baharu,
pembinaan stadium baharu, pembinaan masjid terbesar dan pembinaan
perumahan rakyat peringkat permulaan melibatkan 3,000 unit.
Projek lain adalah mewujudkan sistem pengangkutan Rapid Kota Baharu,
pembinaan kampus bandar Universiti Teknologi Mara yang boleh memuatkan
5,000 pelajar dan projek menyelesaikan masalah air. BERNAMA
0 comments:
Catat Ulasan
Pihak JERING DAILY tidak akan bertanggungjawab terhadap setiap pandangan atau komen yang diutarakan melalui laman portal ini. Ia adalah pandangan peribadi masing-masing dan tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian kami selaku pengendali portal.
Sila guna bahasa dan perkataan yang sopan ketika menulis komen atau meluahkan pendapat kerana setiap komentar yang diutarakan itu mencerminkan keperibadian diri anda sendiri. Terima kasih.