Pertumbuhan Ekonomi Malaysia Boleh Terjejas Jika Rakyat Tukar Kerajaan


Singapura: Perubahan kerajaan dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 mungkin mewujudkan suasana tidak menentu yang besar ke atas ekonomi Malaysia, kata seorang penganalisis di Franklin Templeton.
Pengurus Portfolio Templeton Emerging Markets Group, Franklin Templeton Investments, Dennis Lim, berkata ekonomi Malaysia berdaya tahan pada tahun sebelum ini.

“Kerajaan mengambil pelbagai langkah untuk meningkatkan pertumbuhan dan tindakan itu sudah berhasil. Jika kita andaikan kerajaan semasa kekal memerintah selepas April dan terus melaksanakan langkah pertumbuhan utama, ia boleh menjadi satu lagi tahun yang baik untuk Malaysia.

“Jika perubahan berlaku selepas pilihan raya umum, kita mungkin melalui tempoh yang tidak menentu,” katanya.

Ditanya mengenai pasaran ekuiti Malaysia, Lim yang juga Ketua Pegawai Eksekutif bersama Templeton Asset Management Ltd (Singapura), berkata sejak 12 bulan lalu, pasaran saham Malaysia mencatat prestasi yang baik, memperoleh kira-kira 11 peratus.

Beliau berkata, ia lebih baik berbanding pasaran seperti Korea, Shanghai dan Indonesia namun kurang menarik berbanding Thailand, India dan Singapura.

Usaha sangat progresif

Ditanya mengenai unjuran pasaran ekuiti di Malaysia, Lim berkata berikutan ekonomi China semakin pulih, kebanyakan pasaran Asia akan memperoleh manfaat daripada peningkatan perdagangan dengan rakan dagang mereka yang lebih besar.

Mengenai kemungkinan melabur di Malaysia, pengurus eset US itu berkata: “Kami akan mengkaji risiko dan ganjarannya.

“Jika risiko dan ganjaran Malaysia mengatasi pasaran lain, kami akan melabur.

Mengenai dasar mesra perniagaan kepada pelabur yang dilaksanakan oleh Kerajaan Malaysia, beliau berkata usaha Malaysia itu sangat progresif.

“Kerajaan melaksanakan langkah untuk memudahkan rakyat asing menjalankan perniagaan di Malaysia dan ia adalah kelebihan besar berbanding pasaran lain di Asia seperti India,” katanya.

Syarikat San Mateo, yang berpejabat di CA itu mempunyai pengalaman 65 tahun dalam pelaburan dan memiliki aset melebihi US$769 bilion (RM2.3 trilion) dalam pengurusannya sehingga 30 November, 2012. - BERNAMA
Share on Google Plus

About Unknown

0 comments:

Catat Ulasan

Pihak JERING DAILY tidak akan bertanggungjawab terhadap setiap pandangan atau komen yang diutarakan melalui laman portal ini. Ia adalah pandangan peribadi masing-masing dan tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian kami selaku pengendali portal.

Sila guna bahasa dan perkataan yang sopan ketika menulis komen atau meluahkan pendapat kerana setiap komentar yang diutarakan itu mencerminkan keperibadian diri anda sendiri. Terima kasih.