Tiada Lagi Adun Johor Sertai Pembangkang - Jais Sarday

jais-sarday-umno-bn

JOHOR BAHRU : UMNO Johor hari ini meminta rakyat agar tidak mempercayai khabar angin atau spekulasi, kononnya beberapa orang lagi Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada parti itu, akan menyertai pembangkang.

Setiausaha Badan Perhubungannya Datuk Md Jais Sarday berkata berdasarkan semakan pihaknya, setakat ini dakwaan itu tidak wujud.

“Kita sudah semak, malah sudah juga berjumpa sebahagian daripada mereka (yang didakwa mahu melompat parti) dan didapati memang tiada (ADUN lompat parti).

“Jadi, ini lebih kepada kenyataan provokasi daripada mereka (pembangkang) yang mungkin hendak mengelirukan minda rakyat,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran Kejohanan Hoki Antarabangsa Bawah 21 Tahun Piala Sultan Johor 2016 Kali keenam, di sini hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri berkata demikian sebagai mengulas dakwaan pembangkang hari ini kononnya terdapat sekurang-kurangnya dua lagi ADUN UMNO negeri ini akan meninggalkan parti.

Sebelum ini, ADUN Jorak Datuk Dr Shahruddin Md Salleh meletak jawatan sebagai Naib Ketua UMNO bahagian Pagoh selepas dilantik setiausaha agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Julai lepas.

Md Jais berkata pada mesyuarat yang diadakan sebelum persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) lepas, kesemua ADUN UMNO sudah pun menyatakan pendirian untuk terus bersama-sama dengan parti sehingga pilihan raya akan datang.

“Jadi, kita di peringkat kerajaan negeri akan terus melaksanakan agenda kita dan tidak akan melayan perkara-perkara sebegini.

“Malah, Menteri Besar (Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin) pun sudah minta setiap ADUN agar mempunyai gerak kerja masing-masing untuk mengukuhkan jentera mereka dan parti,” katanya.

Pada 12 Okt lalu, Timbalan Pengerusi PKR Johor Jimmy Puah dilaporkan sebagai berkata dua wakil rakyat dijangka berbuat demikian dan mereka dikhabarkan ‘mesra’ dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang kini memimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia.

Sumber: Portal Umno Johor
Share on Google Plus

About Unknown

0 comments:

Catat Ulasan

Pihak JERING DAILY tidak akan bertanggungjawab terhadap setiap pandangan atau komen yang diutarakan melalui laman portal ini. Ia adalah pandangan peribadi masing-masing dan tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian kami selaku pengendali portal.

Sila guna bahasa dan perkataan yang sopan ketika menulis komen atau meluahkan pendapat kerana setiap komentar yang diutarakan itu mencerminkan keperibadian diri anda sendiri. Terima kasih.