KUALA LUMPUR - Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim menarik
balik keputusan meletak jawatan sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak
Negeri Johor (PBNJ) berkuat kuasa serta merta.
Ini diumumkan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Sultan
Pahang, Sultan Ahmad Shah pada sidang media selepas menerima menghadap
Tunku Ismail di Istana Pahang di sini hari ini.
Turut berangkat pada pertemuan hampir sejam itu ialah Sultan Johor
Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Tengku Muda Pahang Tengku Abdul
Rahman Sultan Ahmad Shah.
Sultan Ahmad Shah bertitah keputusan itu diambil Tunku Ismail selepas
dipujuk oleh baginda sendiri selain turut mendapat restu Sultan Ibrahim.
"Saya bersyukur ke hadrat Allah S.W.T pada hari ini sebagaimana harapan
saya telah menjadi kenyataan, bahawasanya Tunku Mahkota Johor akan
kembali sebagai Presiden PBNJ...jadi saya telah menasihatkan (Tunku
Ismail) supaya berusaha bersungguh-sungguh untuk memperbaiki kedudukan
bola sepak di Johor," titah baginda.
Sultan Ahmad Shah bagaimanapun bertitah Tunku Ismail tetap akan
menjalani hukuman penggantungan dan denda yang diputuskan Jawatankuasa
Tata Tertib FAM sebelum ini.
"Sekali anda memutuskan untuk menjadi anggota persatuan, kita tertakluk
kepada undang-undang yang diperuntukkan persatuan itu...jadi tiada
siapa boleh melarikan diri daripada undang-undang yang telah termaktub
bertahun-tahun," titah baginda.
Sultan Ahmad Shah turut gembira dengan pencapaian yang diraih dua
pasukan di bawah PBNJ iaitu Johor Darul Takzim (Liga Super) dan Johor FA
(Liga Perdana) sejak Tunku Ismail menjadi Presiden PBNJ.
Tunku Ismail sebelum ini digantung enam bulan dan denda sebanyak
RM18,000 oleh Jawatankuasa Tata Tertib FAM kerana mengkritik mutu
pengadilan Liga Malaysia, dan hukuman itu berkuat kuasa sejak 8 Mac
lepas.
Baginda turut dipalit dengan kontroversi selepas didakwa duduk di
bangku simpanan pemain sewaktu aksi Liga Super antara Johor Darul Takzim
FC (JDT FC) menentang Terengganu di Stadium Tan Sri Hassan Yunos,
Larkin pada 30 Mac lepas ketika hukuman berkenaan masih berkuat kuasa.
Pada 3 April lepas, Tunku Ismail membuat keputusan meletak jawatan selaku Presiden PBNJ.
Baginda dikatakan berbuat demikian kerana mahu menumpukan tugas selaku
Tunku Mahkota Johor dan tidak mahu terikat dengan undang-undang FAM.
Tunku Ismail turut mengumumkan baginda akan menjadi penaung PBNJ
manakala jawatan Presiden PBNJ akan disandang Setiausaha Kerajaan Negeri
Johor Datuk Obet Tawil. - Bernama
0 comments:
Catat Ulasan
Pihak JERING DAILY tidak akan bertanggungjawab terhadap setiap pandangan atau komen yang diutarakan melalui laman portal ini. Ia adalah pandangan peribadi masing-masing dan tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian kami selaku pengendali portal.
Sila guna bahasa dan perkataan yang sopan ketika menulis komen atau meluahkan pendapat kerana setiap komentar yang diutarakan itu mencerminkan keperibadian diri anda sendiri. Terima kasih.