PRU13: Perebutan Kerusi, PKR Sudah Mula Main Belakang PAS

pkr-main-belakang-pas

Tindakan PKR Pulau Pinang mengumumkan calonnya bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Acheh, satu tamparan hebat kepada PAS negeri yang selama ini berusaha mendapatkan kembali kerusi itu.

Apatah lagi, pengumuman itu dibuat selepas kepemimpinan pembangkang bermesyuarat di Kuala Lumpur Selasa lalu, yang sepakat kerusi berkenaan dikembalikan kepada PAS.

Pengerusi PKR Pulau Pinang, Datuk Mansor Othman, menerusi kenyataan media pada malam Selasa lalu, mengumumkan Ketua Penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia, Badrul Hisham Shaharin atau Chegu Bard, sebagai calon parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-13.

Apakah Mansor tidak tahu keputusan mesyuarat pimpinan pembangkang pada hari sama mengenai kerusi itu diserahkan kepada PAS? Malah. Keesokannya, Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Datuk Salleh Man, mengumumkan Ketua Dewan Pemuda PAS negeri, Yusni Md Piah, bertanding di Sungai Acheh.

Salleh menegaskan keputusan PAS bertanding kerusi itu muktamad kerana kata sepakat sudah dicapai pimpinan pakatan. Justeru, beliau menyifatkan tindakan Mansor sebagai pelik dan membelakangkan keputusan pimpinan pakatan pembangkang.

Yakin menang

PAS dan PKR berebut kerana percaya mampu menewaskan calon Barisan Nasional (BN), memandangkan penyandang, Datuk Mahmud Zakaria menang tipis (250 undi) pada PRU-12.

Kenapa Mansor bertindak sedemikian? Adakah untuk menunjukkan beliau tidak percaya kepada jentera pilihan raya PAS jika parti itu bertanding di Sungai Acheh kerana beliau sendiri akan mencuba nasib di Parlimen Nibong Tebal. Sungai Acheh satu daripada tiga DUN dalam Parlimen Nibong Tebal. DUN Sungai Bakap akan ditandingi PKR dan Jawi oleh DAP.

PKR melihat kekurangan gerak kerja dan kempen menjejaskan peluang Mansor menang apabila berdepan calon BN di Parlimen itu. Dengan meletakkan calon di Sungai Acheh dan Sungai Bakap (majoriti pengundi Melayu), harapan PKR menang di Parlimen Nibong Tebal, lebih cerah. Pada PRU-12, calon PKR, Tan Tee Beng menewaskan calon BN, Datuk Zainal Abidin Osman.

Mansor pula menjangka Salleh turut mengumumkan calon parti itu kerana beliau sudah ‘potong jalan’ PAS disebabkan selama ini PAS akur apa juga tindakan PKR dan DAP. Dengan keadaan PAS yang ibarat melukut di tepi gantang di Pulau Pinang, PKR berani memperkudakan parti itu. DUN Sungai Acheh amat penting kerana ia akan menguatkan suara PAS di Pulau Pinang.

Calon PAS dan PKR tidak mungkin bertembung di Sungai Acheh pada PRU-13 walaupun kedua-duanya amat memerlukan kerusi itu. Bagi parti yang kecundang dalam perebutan ini timbul rasa tidak puas hati ahli kerana selama ini mereka sudah turun padang membuat persiapan menghadapi ‘peperangan’ ini. 
 
Berita Harian
Share on Google Plus

About Unknown

0 comments:

Catat Ulasan

Pihak JERING DAILY tidak akan bertanggungjawab terhadap setiap pandangan atau komen yang diutarakan melalui laman portal ini. Ia adalah pandangan peribadi masing-masing dan tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian kami selaku pengendali portal.

Sila guna bahasa dan perkataan yang sopan ketika menulis komen atau meluahkan pendapat kerana setiap komentar yang diutarakan itu mencerminkan keperibadian diri anda sendiri. Terima kasih.