MUAR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mewujudkan
satu unit khas dikenali sebagai Amanita dalam usaha mendapatkan
maklumat berkaitan kegiatan jenayah yang tidak dilapor di kalangan
masyarakat.
Pengerusi Urus Setia Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) PDRM
Datuk Ayub Yaakob berkata unit itu mengiktiraf golongan suri rumah
kadangkala mempunyai maklumat penting yang diperkatakan menerusi
'mesyuarat tingkap' mereka.
"Pendekatan kita kini adalah untuk memperoleh maklumat berkaitan
jenayah yang tidak dilaporkan, sebagai suri rumah, mereka mengetahui
banyak isu dan maklumat dikongsi sesama mereka melalui 'mesyuarat
tingkap'.
"Kadangkala ada maklumat jenayah yang mereka tahu daripada mulut ke
mulut tetapi tidak dilaporkan atas sebab-sebab tertentu," katanya pada
sidang akhbar selepas Program Bersama Banteras Jenayah anjuran Yayasan
Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) yang disempurnakan Timbalan Perdana
Menteri Tan Sri Muhyiddn Yassin merangkap Pengerusi MCPF, Sabtu.
Turut hadir Naib Pengerusi MCPF Tan Sri Lee Lam Thye dan Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff.
Ayub berkata Amanita akan dilancar tidak lama lagi dan untuk tujuan
itu, seramai 152 pegawai wanita dikenal pasti untuk penglibatan dalam
unit berkenaan.
Secara tidak langsung, beliau berkata langkah terbaharu yang
dilakukan itu menunjukkan PDRM mengiktiraf peranan wanita dalam pelbagai
sektor di negara ini, termasuk suri rumah yang membentuk modal insan di
peringkat awal.
"Selama ini kita lihat wanita memainkan peranan penting dalam rumah
tangga termasuk menjadi penasihat kepada suami sebelum mereka membuat
keputusan.
"Kita yakin mereka juga dapat memainkan peranan dalam menjaga ketenteraman dan keamanan negara," katanya. BERNAMA
0 comments:
Catat Ulasan
Pihak JERING DAILY tidak akan bertanggungjawab terhadap setiap pandangan atau komen yang diutarakan melalui laman portal ini. Ia adalah pandangan peribadi masing-masing dan tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian kami selaku pengendali portal.
Sila guna bahasa dan perkataan yang sopan ketika menulis komen atau meluahkan pendapat kerana setiap komentar yang diutarakan itu mencerminkan keperibadian diri anda sendiri. Terima kasih.