PETALING JAYA: Penyanyi Suki Low berasakan dirinya dibuli oleh
syarikat Galaxy Music apabila bekas pengurusannya itu berjaya
memanjangkan kes tuntutannya wang bernilai RM417,575.17 sehingga bulan
September ini selepas bekas juara program One In A Million itu gagal mendapatkan perintah waran tangkap terhadap dua pengarah syarikat berkenaan.
Suki berkata, kelewatan itu dianggap lama dan pihaknya sedang
mempertimbangkan untuk merayu kepada pihak mahkamah supaya menolak
keputusan itu bagi mempercepatkan sebutan kes itu.
“Saya berasa sangat sedih dan seolah-olah saya dibuli oleh bekas
pengurusan saya. Walaupun mereka telah kalah dalam kes dan rayuan mereka
masih ingin memanjangkan kes sehingga bulan September dan menyukarkan
saya untuk terus melupakan semua ini buat selama-lamanya,” jelasnya.
Suki sebelum itu gagal mendapatkan perintah waran tangkap terhadap
dua pengarah syarikat Galaxy Music Sdn Bhd iaitu Chan Tak Wai dan Wong
Yoke May di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kerana gagal membayar wang yang
telah dijanjikan kepadanya.
Permohonan itu tidak diterima dan ditolak oleh pihak pendaftar
mahkamah selepas kedua-dua pengarah Galaxy Music itu hadir dengan wakil
peguam mereka untuk sebutan kes tersebut.
Pihak Galaxy Music memaklumkan kepada mahkamah mereka tidak mempunyai
banyak masa terluang kerana kesibukan mereka berkaitan hal industri
hiburan dan mahkamah telah menerima alasan tersebut walaupun tidak
dipersetujui oleh pihak Suki.
Mahkamah telah menetapkan 12 dan 13 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes itu.
Kes tersebut berlarutan walaupun penyanyi itu memperoleh kemenangan
selepas Galaxy Music diarahkan untuk membayar wang berjumlah
RM417,575.17 ekoran kegagalan pihak mereka mengotakan janji untuk
membawa kerjayanya ke peringkat antarabangsa walaupun telah mengambil
sebahagian besar wang hasil kemenangan Suki dari program realiti, One In A Million.
0 comments:
Catat Ulasan
Pihak JERING DAILY tidak akan bertanggungjawab terhadap setiap pandangan atau komen yang diutarakan melalui laman portal ini. Ia adalah pandangan peribadi masing-masing dan tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian kami selaku pengendali portal.
Sila guna bahasa dan perkataan yang sopan ketika menulis komen atau meluahkan pendapat kerana setiap komentar yang diutarakan itu mencerminkan keperibadian diri anda sendiri. Terima kasih.