Siapa Amalkan Politik Suku Agama Suku?

Salah satu intipati utama dalam Amanat Hadi yang mendorong ramai pengikut PAS percaya dan yakini yang UMNO adalah kafir ialah ungkapan "politik suku agama suku" yang difahami oleh penyokong PAS ia merujuk pada fahaman yang kononnya menjadi pegangan UMNO.

Rentetan dari situ, para penyokong PAS beriktikad dalam hati dan tutur katanya bahawa menyokong UMNO adalah haram di sisi Islam dan jika mengundi BN hukumnya kafir atau akan gugur akidahnya.

Kepercayaan songsang sebegini berlaku kerana wujudnya sikap taksub buta tuli yang dikembang biak oleh pemimpin PAS dan ia bertambah parah apabila dalam mana-mana ceramah di pentas politik PAS tidak pernah lupa memainkan propagandanya bahawa UMNO juga menolak Islam.

Kesan daripada doktrin sedemikian akhirnya terus terpahat kukuh di sanubari ramai pengikut PAS tanpa sekelumit pun timbul persoalan sejauh mana benarnya dakwaan songsang pemimpin-pemimpin PAS yang hanya bermodalkan air liur itu.

Langsung tak terdetik di hati mereka betulkah pemimpin UMNO mengemudi parti dengan bersandarkan pegangan bahawa politik suku dan agama suku atau dengan maksud lain politik dan agama Islam mesti diasingkan?

Tak terlintas di benak mereka untuk bertanya lebih lanjut apakah menyokong UMNO benar-benar akan menyebabkan akidah gugur atau terpesong seterusnya menjadi kafir dan tak termungkin mencium bau syurga di akhirat kelak?

Jawapan-jawapan kepada persoalan tersebut sebenarnya tidak sukar untuk ditemui jika pengikut PAS dan pemimpinnya ikhlas meletakkan kebenaran hakiki melampaui kepentingan politik kepartian.

Sebetulnya, sebagaimana penganut Islam yang lain, para pemimpin UMNO, ahli dan penyokongnya senantiasa berpegang teguh bahawa politik adalah sebahagian daripada Islam.

Bezanya antara UMNO dan PAS ialah, UMNO memperalatkan kuasa politik demi kepentingan agama serta memartabatkan Islam, di masa yang sama memanfaatkan kuasa yang diperolehi untuk manfaat orang Melayu Islam.

Manakala PAS pula, mempergunakan agama Islam untuk mengejar laba politik duniawi demi memenuhi selera peribadi. Dek kerana itulah walaupun kalimah Allah s.w.t dituntut oleh mubaligh dan paderi Kristian, Mursyidul Am PAS, Nik Abdul Aziz Nik Mat tanpa berselindung telah mempersetujui tuntutan tersebut.

UMNO sejak ia ditubuhkan hingga sekarang sentiasa peka dengan tuntutan ummah apabila berjaya memperjuangkan martabat agama Islam sebagai agama Persekutuan dalam Perlembagaan Negara.

Dan Perlembagaan Negara yang terbentuk dari hasil perjuangan UMNO itulah yang kini mahu dipertahankan oleh Presiden PAS, Abdul Hadi Awang melalui Buku Jingga yang ditandatanganinya sendiri.

Walhal lebih 3 dekad lalu dalam Amanat Hadi pada 1981, beliau mengajak penyokong PAS menentang Perlembagaan Negara yang didakwanya adalah perlembagaan jahiliah, sekular dan kafir.

Jika benar UMNO mengamalkan fahaman "politik suku agama suku" sebagaimana dipropagandakan oleh PAS, nescaya jadi sekularlah negara kita sebagaimana Indonesia yang menetapkan Pancasila sebagai roh negaranya ataupun menjadi seperti Turki yang menetapkan agenda sekular sebagai pegangan negara.

Dalam hal "politik suku agama suku" para pengikut PAS sepatutnya menuntut pemimpin mereka supaya mencerminkan muka sendiri untuk mengetahui siapa sebenarnya mengamalkan pegangan songsang itu.

Bukankah Nik Aziz pernah memperlekehkan teguran Mufti Perak, Ustaz Harussani Zakaria dengan meminta Tuan Mufti yang lantang bersuara itu supaya menjauhi politik? Tidakkah itu bermakna Mursyidul Am PAS tanpa sedar mahu mengasingkan politik dan agama?

Begitu juga apabila Naib Presiden PAS, Salehuddin Ayub menggesa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menjauhi unsur politik, bukankah gesaan itu bermatlamat menghalang teguran pihak JAKIM berkaitan politik sekaligus memberi gambaran PAS menolak campurtangan Jabatan Agama dalam hal politik?

Malah Ketua Dewan Ulama PAS, Haron Taib juga pernah dengan lagak egonya mempersoalkan campurtangan Mufti Perak dan Mufti Wilayah Persekutuan berikutan teguran mereka berdua berhubung kesesatan Amanat Hadi.

Kesemua tingkah laku pemimpin-pemimpin PAS itu segalanya menjurus kepada "politik suku agama suku". Bukan begitu?
Share on Google Plus

About Unknown

0 comments:

Catat Ulasan

Pihak JERING DAILY tidak akan bertanggungjawab terhadap setiap pandangan atau komen yang diutarakan melalui laman portal ini. Ia adalah pandangan peribadi masing-masing dan tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian kami selaku pengendali portal.

Sila guna bahasa dan perkataan yang sopan ketika menulis komen atau meluahkan pendapat kerana setiap komentar yang diutarakan itu mencerminkan keperibadian diri anda sendiri. Terima kasih.