Lawatan Najib Ke Davos Hasilkan RM5b Jumlah Pelaburan


Tiga syarikat asing nyata hasrat melabur di Malaysia

Davos (Switzerland): Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semalam mengumumkan potensi pelaburan berjumlah kira-kira RM5.5 bilion ke Malaysia membabitkan tiga syarikat asing.
Ia adalah hasil pertemuan dengan syarikat berkenaan di luar Forum Ekonomi Dunia (WEF) yang sedang berlangsung selama lima hari sehingga 27 Januari ini.


Menurut Najib, Itochu Steel Industry telah menunjukkan minat untuk mengadakan usahasama dengan PETRONAS, syarikat minyak negara, dalam bidang petrokimia di Rapid Pengerang.

“Perkara ini boleh dikatakan hampir menjadi kenyataaan. Ia akan memberi kesan kepada perkembangan projek Rapid Pengerang itu,” katanya kepada wartawan Malaysia, di sini kelmarin.

Selain itu, syarikat ini berminat untuk membina sebuah kilang yang akan mengeluarkan paip bersepadu untuk industri minyak dan gas.

Pelbagai bidang ekonomi

Sementara itu, ketika pertemuan bersama Hanwha Group, syarikat itu menyatakan hasrat untuk melabur dalam syarikat pengurusan aset, pembinaan dan syarikat insurans nyawa.

Perdana Menteri berkata, konglomerat yang mengambil alih Q-Cells, syarikat Jerman yang mengeluarkan sel fotovoltan (PV) itu dengan nilai RM1.4 bilion, diyakini akan menambah pelaburan pada masa akan datang. Difahamkan syarikat berkenaan akan melabur RM3 bilion selama lapan tahun.

Bagi Evonik Industries AG, Najib berkata, syarikat ini pula akan menubuhkan syarikat usaha sama dengan PETRONAS juga dalam bidang petrokimia.

“Projek ini boleh dikatakan telah dipersetujui secara prinsipnya. Dalam tempoh setahun ini, mereka akan buat kajian lebih terperinci lagi. Kerja-kerja akan bermula pada tahun depan,” katanya.

Najib kini dalam rangka lawatan kerja sempena WEF, sehingga 26 Januari ini.

Sementara itu, pada pertemuan dengan Menteri Kewangan Kanada, James M Flaherty, Perdana Menteri menyampaikan ucapan penghargaan kepada kerajaannya atas kelulusan untuk PETRONAS membuat pelaburan besar melalui Progress Energy.

“Ini pelaburan strategik PETRONAS kerana ia menambah rizab gas dengan ketara yang dapat dikuasai syarikat petroleum ini.

Tingkat pelaburan

“Beliau juga berharap hubungan ekonomi kedua-dua negara akan dapat ditingkatkan lagi,” katanya.

Pada pertemuan beliau bersama Ketua Pengarah Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) Pascal Lamy, Najib berkata, pemimpin itu mengucapkan terima kasih kepada Malaysia kerana memainkan peranan yang aktif dan positif untuk menggalakan rundingan ke arah sistem rules base atau asas peraturan.

“Beliau juga menghargai usaha kita memulihkan rundingan Doha yang agak terbantut sekian lama.

“Lamy berasakan rundingan pada pelbagai peringkat ini dulu memberi tumpuan atau aspek yang boleh membawa kepada persetujuan secara kolektif.

“Ia termasuk mempermudahkan perdagangan dalam rundingan pelbagai peringkat kerana pemudahan perdagangan kalau diputuskan akan mengurangkan kos menjalankan perniagaan,” kata Perdana Menteri.

Pada pertemuan terakhir pada hari pertama lawatan kerja beliau bersama Perdana Menteri Netherland, Mark Rutte, Najib berkata Malaysia diminta untuk mengkaji bagaimana negara kecil itu mampu menjadi pengeluar bunga dan hasil pertanian antara yang terbesar di dunia dengan menggunakan teknologi dan secara intensif. - BERNAMA
Share on Google Plus

About Unknown

0 comments:

Catat Ulasan

Pihak JERING DAILY tidak akan bertanggungjawab terhadap setiap pandangan atau komen yang diutarakan melalui laman portal ini. Ia adalah pandangan peribadi masing-masing dan tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian kami selaku pengendali portal.

Sila guna bahasa dan perkataan yang sopan ketika menulis komen atau meluahkan pendapat kerana setiap komentar yang diutarakan itu mencerminkan keperibadian diri anda sendiri. Terima kasih.